Luar Negara

El Clasico: 7 statistik menarik untuk anda baca sebelum perlawanan malam ini

Barcelona akan berkunjung ke Santiago Bernabeu malam ini untuk menentang Real Madrid dalam perlawanan El Clasico yang dijangka memberi aksi yang cukup hangat. Skuad Ernesto Valverde berada 11 mata di hadapan Real Madrid pada masa ini dan jika Real masih mempunyai harapan untuk meraih kejuraraan liga, mereka perlu memenangi perlawanan malam ini.

Kami telah menyediakan beberapa data dan statistik menarik untuk anda baca sebelum menyaksikan perlawanan tersebut pada pukul 8 malam!

Perlawanan malam ini merupakan El Clasico edisi ke-237. Setakat ini, Real Madrid mempunyai rekod yang lebih baik dengan 95 kemenangan manakala Barcelona tidak jauh di belakang dengan 92 kemenangan. Baki 49 perlawanan berakhir seri. Los Blancos turut mempunyai rekod jaringan yang lebih bagus dengan 396 gol manakala Barca pula menjaringkan 381 dalam sejarah 'derby' ini.

174 daripada 236 perlawanan El Clasico setakat ini berlangsung di La Liga dan Real tetap mempunyai rekod yang lebih cemerlang dengan 72 kemenangan manakala Barca mempunyai 69 kemenangan.

Penjaring terbanyak dalam sejarah El Clasico? Lionel Messi. Penyerang Argentina itu sudah menjaringkan 24 gol menentang Real Madrid setakat ini.

Untuk Real Madrid pula, penjaring terbanyak dalam sejarah El Clasico merupakan Alfredo Di Stefano dengan 18 gol. Namun, Cristiano Ronaldo hanya satu gol di belakang dengan 17 jaringan sejak menyertai Real Madrid pada tahun 2009.

Pemain dengan penampilan El Clasico terbanyak adalah Xavi. Bekas bintang Barca itu membuat 42 penampilan menentang Real, ketika dia bersama Barca.

Jika Barca meraih tiga mata malam ini, mereka akan mencipta rekod kemenangan ketiga berturut-turut di Santiago Bernabeu. Sebelum ini, mereka hanya pernah memenangi dua perlawanan berturut-turut di Santiago Bernabeu - 6-2 dan 2-0 pada musim 08/09 sebelum seri 1-1 pada musim seterusnya.

Apabila Johan Cruyff bermain untuk Barca, mereka berjaya membina rekod tanpa kalah di Bernabeu sepanjang lima musim - dari 1969/70 ke 1973/74. Dalam lima tahun tersebut, mereka berjaya menewaskan Real Madrid dua kali dan seri tiga kali.