Liga Super Malaysia Berita

Ramon Marcote sah kembali mengemudi skuad Helang Merah

Pasukan Kedah akan berada di bawah kendalian bekas jurulatih Atletico Madrid, Ramon Marcote untuk musim 2018 selepas kelab itu mengesahkan bahawa majlis menandatangani kontrak akan diadakan di Wisma Alor Setar esok.

Marcote, yang pernah menjadi penolong ketua jurulatih bersama Kedah pada tahun 2015, akan memulakan latihan pra-musim untuk skuad Helang Merah di Alor Setar petang ini.

“Alhamdulillah, akhirnya penantian semua pihak akan dimuktamadkan esok dengan persetujuan YAB Dato’ Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah untuk melantik Ketua Jurulatih Skuad Liga Super Kedah 2018 baharu, Ramon Marcote Pequeno,” kata kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh laman rasmi Facebook Kedah FA.

“Usaha dan komitmen tinggi pengurusan yang diketuai oleh YAB Dato’ Seri ini turut mendapat restu penyokong yang tidak putus-putus mahukan jurulatih dari Sepanyol ini untuk mengemudi Kedah setelah meninggalkan kesan mendalam mengemudi 4 perlawanan pada musim 2015.

“Usaha ini sukar untuk menjadi nyata tanpa usaha dari penaja, sokongan berterusan penyokong dan terutamanya komitmen pengurusan tertinggi KFA diketuai oleh YAB Dato’ Seri Diraja Ahmad Bashah Md. Hanipah,” tambah kenyataan tersebut.

Kedah juga akan memulakan pencarian untuk tiga pemain import baru, termasuk satu daripada zon ASEAN. selepas mereka membuat keputusan untuk melepaskan Ken Ilso dan Zachary Anderson. Liridon Krasniqi dan Sandro telah dikekalkan untuk musim 2018.