Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah mengesahkan bahawa perlawanan kelayakan Piala Asia di antara Malaysia dan Korea Utara akan berlangsung pada bulan depan, selepas tiga kali ditangguh sepanjang tahun ini.
Namun, perlawanan tersebut akan berlangsung di gelanggang berkecuali, ekoran situasi di Pyongyang yang tidak begitu selamat buat masa ini. Lokasi gelanggang neutral ini akan dimuktamadkan secepat mungkin, menurut AFC.
Perlawanan pertama akan berlangsung pada 10 November, di mana Korea Utara akan menjadi ‘tuan rumah’ di gelanggang neutral tersebut, manakala perlawanan kedua akan berlangsung tiga hari selepas itu pada 13 November. Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk perlawanan kedua.
“Perlawanan ini sudah tertangguh sebanyak tiga kali kerana ketegangan politik antara Malaysia dan Korea Utara selain larangan oleh Kerajaan Malaysia ke atas warganya berkunjung ke negara berkenaan,” kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John Paul.
“Bagi menjaga dan menjamin keadilan, diputuskan bahawa kedua-dua aksi akan dilangsungkan di venue berkecuali dengan aksi pertama menyaksikan Korea Utara sebagai tuan rumah dan Malaysia pada aksi kedua.
“Kami gembira kerana kedua-dua Persatuan Ahli (Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Persatuan Bola Sepak Korea Utara) sudah bersetuju dengan keputusan ini demi semangat kesukanan yang tinggi,” tambah beliau.