Liga Super Malaysia

Perlesenan kelab : 7 pasukan liga super dapat lesen

Setiausaha agung Persatuan bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin hari ini mengumumkan sebanyak 7 daripada 12 pasukan yang beraksi pada Liga Super 2017 telah lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Super 2018.

Perkara ini telah diputuskan pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif pada 24 Ogos 2017.

Tujuh pasukan berkenaan adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Pahang FA, Perak FA, PKNS FC, Penang FA, Selangor FA dan T-Team FC.

Daripada 7 pasukan di atas, 4 daripadanya iaitu JDT, Pahang FA, PKNS FC dan Selangor FA turut lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Juara-Juara Asia 2018 atau Piala AFC 2018, jika layak.

Sementara lima pasukan Liga Super 2017 yang lain iaitu Felda United FC, Kedah FA, Kelantan FA, Melaka United SA dan Sarawak FA telah ditolak permohonan mereka untuk mendapatkan lesen kelab FAM & AFC kerana gagal menepati kriteria yang telah ditetapkan.

“Untuk makluman, bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017,” katanya.

“Bagi pasukan-pasukan yang gagal, mereka telah pun diberikan surat pemakluman dan masih boleh merayu untuk mendapatkan lesen kelab seperti dinyatakan dalam Artikel 3.4.2 Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017 yang mana rayuan mereka dijadualkan akan didengar dalam masa terdekat.”

“Lesen kelab FAM & AFC yang dikeluarkan ini adalah sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi musim 2018 dan sepanjang musim berkenaan, jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017 atau mempunyai kes berkaitan dengan FIFA dan AFC, lesen kelab mereka boleh ditarik balik.”

“Saya bagi pihak FAM selaku pihak yang memberikan lesen kelab ini ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan-pasukan yang telah berjaya memperoleh lesen kelab FAM & AFC ini di atas usaha individu-individu dalam pasukan masing-masing yang telah memberi komitmen sepenuhnya dalam memastikan permohonan mereka berjaya.”

“Ini merupakan tahun penting dalam permulaan kita membangunkan pelesenan kelab ini yang mana kita telah menetapkan setiap pasukan yang ingin bertanding dalam saingan Liga Super 2018 serta pertandingan peringkat AFC bagi tahun 2018 perlu memiliki lesen kelab.”

“Saya juga berbangga dengan usaha dan komitmen semua pasukan terlibat kerana ia satu cabaran yang besar memandangkan kebanyakan pasukan melalui proses permohonan lesen kelab ini buat pertama kali dan mereka berjaya melepasi enam kriteria utama yang telah ditetapkan itu,” katanya.