Other Editions

Myanmar senaraikan pemain lebih umur?

Kontroversi terbaru melanda acara bolasepak Sukan SEA 2017 apabila pasukan Myanmar didakwa menyenaraikan pemain yang melebihi umur 22 tahun seperti yang ditetapkan dalam peraturan pertandingan. Menurut seorang wartawan sukan, salah seorang pemain Myanmar Tluang Hup Thang disyaki berusia 24 tahun menurut pencarian dalam internet.

Menerusi pencarian di Internet antaranya Wikipedia, dan laman web Transfermarkt.com mendapati pemain itu sudah berusia 24 tahun. Bagaimanapun jurulatih Myanmar kelahiran Jeman menafikan dakwaan itu. Gerd Zeise menafikan menyenaraikan pemain lebih usia, iaitu Tluang Hup Thang bagi kempen Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Tidak, saya fikir dia 1995, 1996 (tarikh lahir),” katanya dalam sidang media selepas perlawanan dengan Singapura semalam.

Hup Thang tidak beraksi dalam perlawanan itu dan Myanmar tiada masalah untuk mencatat kemenangan pertama Kumpulan A, 2-0 ke atas Singapura di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Ini bukan kali pertama kontroversi tipu umur melibatkan pasukan Myanmar berlaku. Myanmar pernah disyaki menurunkan beberapa pemain melebihi usia 22 tahun ketika menentang skuad negara pada perlawanan terakhir Kumpulan G Kelayakan Piala AFC B-22 di Yangon pada tahun 2012.

Ketika itu, menurut laman web rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) iaitu www.fifa.com dan kelab Yangong United (www.ygnutd.com) mendapati Myanmar membariskan empat pemain melebihi usia 22 tahun pada kempen kelayakan tersebut.

Penjaring dua gol Myanmar ketika menentang Malaysia iaitu Kaung Si Thu disyaki berusia 25 tahun, kapten, Kyaw Zayar Win (24), Ye Zaw Htat Aung (26) dan Thet Naing (23).

Walaubagaimanapun, FAM enggan membuat bantahan rasmi ketika itu dengan alasan ketiadaan bukti yang kukuh.