Berita

Isu tuntutan gaji bekas jurulatih skuad kebangsaan selesai

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan tuntutan baki gaji bekas jurulatih-jurulatih skuad Malaysia U22 iaitu Hassan Sazali Waras, Reuben Jude, Aminuddin Hussin, Megat Amir Faisal Ibrahim dan Mashidee Sulaiman telah pun diselesaikan selepas satu perjumpaan khas diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Menurut setiausaha agung FAM, Datuk Haji Hamidin berkata, penyelesaian dan keputusan yang telah dibuat hari ini turut telah mendapat perkenan Presiden FAM, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang gembira kerana isu ini tidak perlu dipanjangkan lagi.

Dianggarkan jumlah hutang yang perlu dilunaskan oleh FAM kepada mereka berlima ialah sebanyak RM450,000 yang merangkumi baki kontrak antara tujuh hingga sembilan bulan.

Pada bulan April lepas, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memulakan langkah mengecilkan saiz staf kejurulatihan dan pentadbirannya seperti dijanjikan oleh Presiden FAM yang baru, Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila memecat 20 pekerja, dengan Penolong Setiausaha Agung, Lazarus Jansen Xavier dan jurulatih dari Jerman, Frank Bernhanrdt dipercayai turut termasuk dalam senarai itu.

Lima bekas jurulatih itu melahirkan rasa kecewa dengan tindakan kurang professional FAM yang enggan membayar keseluruhan baki gaji sebaliknya hanya membayar sebanyak tiga bulan sahaja. Bekas setiausaha agung AFC, Dato Peter Vellapan turut melahirkan kekecewaan beliau dengan kontroversi terbaru yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila badan induk itu gagal melunaskan tuntutan baki gaji lima bekas jurulatih dan pegawai pasukan kebangsaan.