Liga Super Malaysia

RM2 Juta Adalah Nilai Ghaddar Yang Ditetapkan KAFA

Mohammad Ghaddar, akhirnya membuka mulut dengan menyatakan hasrat meninggalkan pasukan Kelantan pada jendela perpindahan kedua Jun ini. Menurut pemain itu, beliau masih belum bersedia untuk memberitahu pasukan mana beliau akan beraksi.

“Saya tidak berniat melukakan hati penyokong Kelantan, namun anda tahu saya mempunyai keluarga yang mengharapkan nafkah daripada saya.”

“Saya pernah beritahu akan setia dengan Kelantan namun selepas berbincang dengan beberapa pihak, saya terpaksa membuat keputusan untuk berpindah.”

“Ini keputusan saya sendiri dan tiada desakan mana-mana pihak atau kaitan dengan isu pasukan Kelantan. “Saya harap penyokong memahami situasi seorang pemain bola,” katanya lagi.

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pula meletakkan harga sekurang-kurangnya RM2 juta kepada mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat penyerang import dari Lubnan itu.

Datuk Ismail Md Noor, berkata jika jumlah yang ditawarkan mencapai nilai yang ditetapkan atau pun keadaan memaksa, The Red Warriors (TRW) terpaksa melepaskan khidmat Ghaddar.

“Ketika ini, Ghaddar masih pemain Kelantan. Bukan mudah untuk kita lepaskan dia kerana kita juga perlu memikirkan kos yang kita sudah belanjakan untuk mendapatkannya.”

“Kita letakkan nilai sekurang-kurangnya RM2 juta untuk Ghaddar. Jika jumlah itu dapat dipenuhi, kita sedia lepaskan,”

Ghaddar petang tadi mengesahkan akan meninggalkan Kelantan pada jendela perpindahan kedua yang akan dibuka mulai esok hingga 11 Jun 2017.

Setakat 12 perlawanan Liga Super 2017 ini, Ghaddar telah menjaringkan 18 gol dalam 11 penampilan, gah berada di senarai penjaring terbanyak Liga Super. Beliau juga dijangka mampu memecah rekod 25 gol semusim yang dipegang oleh Hashim Mustapha pada musim 1994.