Liga Super Malaysia

[PREVIU] Johor D.T vs Selangor : Apabila Dua Empayar Bertemu!

‘Empayar’. Perkataan yang menggambarkan betapa hebatnya sejarah dan nilai estetika kedua-dua pasukan yang akan bertemu ini. Mana tidaknya, Selangor merupakan penakluk bola sepak Malaya manakala Johor DT pula penakluk bola sepak Malaysia. Wah!

Yang pasti, perseteruan kedua-dua pasukan ini tidak akan terhenti dengan hanya menilai kejayaan silam. Oleh itu, penulis bawakan sebuah previu perlawanan tumpuan mala mini! Jadi, apa tunggu lagi? Mari kita teroka previu ini!

REKOD PERTEMUAN DAN AKSI TERAKHIR LIGA KEDUA-DUA PASUKAN

Kedua-dua pasukan telah bertemu sebanyak 15 kali dalam tempoh 5 tahun dan Johor DT mencatatkan rekod yang lebih baik dengan 6 kemenangan, 4 seri dan selebihnya pula kekalahan. Kedua-dua pasukan sememangnya terlalu kerap bertemu sehingga boleh digelar ‘inter-state derby’!

Rekod aksi terakhir liga kedua-dua pasukan juga lebih memihak kepada Johor DT apabila mereka berkelebihan 1 perlawanan dan masih lagi belum kalah dengan rekod 1 menang dan 1 seri. Berikut adalah keputusan penuh perlawanan mereka;

  • Johor DT 1 – 1* Kedah, 20 Januari 2017
  • Johor DT 3 – 1 Felda United, 27 Januari 2017

Rekod bagi Selangor pula agak tidak konsisten yang mana mereka hanya mengutip 4 mata daripada 3 perlawanan. Mereka bermula baik dengan memenangi perlawanan menentang Pulau Pinang namun prestasi pasukan mereka mula menurun selepas itu! Berikut adalah keputusan penuh perlawanan mereka;

  • Selangor 2 – 0 P.Pinang, 21 Januari 2017
  • Selangor 1 – 1 Melaka United, 27 Januari 2017
  • PKNS 5 – 3 Selangor, 4 Februari 2017

3-4-3 P. MANIAM v 4-2-3-1 BENJAMIN MORA : APA MASALAHNYA?

Kedua-dua pasukan memiliki masalah di posisi yang sama iaitu ‘pivot’. P. Maniam memiliki ‘double pivot’ yang statik manakala Mora pula memiliki ‘double pivot’ yang lemah dan tidak seimbang.

Selangor –

  • Walaupun Halim dan Saiful dapat menjadi ‘double pivot’ yang seimbang namun apabila menyerang, kelihatan kelemahan mereka untuk membantu serangan. Jelas ketara bahawa tiada sebarang percubaan untuk melakukan larian ofensif bagi membuka ruang untuk melakukan hantaran lolos atau percubaan.

Johor DT –

  • Masalahnya apabila Safiq bermain sebagai ‘no.8’ (central midfielder) yang sudah lama dia tinggalkan, dia menjadi terlalu janggal dan mudah untuk hilang arah. Jadi, adalah lebih elok bagi Safiq untuk kembali bermain sebagai ‘no.10’ moden.
  • Perihal Amirulhadi, penulis merasakan lebih elok jika Mora untuk meletakkan ‘no.6’ semulajadi kalau dia mahu menggunakan khidmatnya. Amirul Hadi ialah seorang ‘no.8’ yang sentiasa neutral dan sangat gemar bergerak secara ‘free role’.

V.A.D (VEENOD-ADAM-DOE) vs ‘BACK 4’ JOHOR D.T : SIAPA MANGSA SIAPA?

Benteng pertahanan Johor DT sepatutnya tahu kekuatan dan kelemahan sistem 3-4-3 P. Maniam yang mana salah satu kekuatan sistem ini adalah V.A.D! Bagaimana benteng pertahanan Johor DT dapat mengawal tiga serangkai ini?

Pertama, benteng pertahanan Johor DT haruslah bertahan secara ‘hybrid-marking’. Hal ini demikian kerana Veenod hanyalah ‘powerhouse’ buat tiga serangkai dan berfungsi sebagai punca serangan dan ‘dummy’. Jadi, ‘ball-orientation marking’ haruslah ditetapkan kepada Veenod agar serangan Selangor menjadi terhad manakala Adam dan Doe ditetapkan dengan ‘man-marking’.

Seterusnya, elakkan situasi ‘ball-watching’! Selain Adam, Astafei juga mampu melakukan serangan dan mengambil kesempatan daripada situasi ‘ball-watching’. Kebanyakan gol Selangor berpunca daripada situasi sebegini!

PEMAIN TUMPUAN :

JOHOR DT : Brian Ferreira, Gonzalo Cabrerra & Marcos Antonio

SELANGOR : S. Veenod, Adam Nor Azlin & Forkey Doe