Asia AFC Cup

Analisis: Jakmania berjaya beri tekanan mental, keputusan taktikal Raul Longhi mengundang padah

Keputusan Raul Longhi untuk merehatkan hampir kesemua pemain utama mereka jelas mengundang padah selepas mereka tewas 0-4 di tangan Persija Jakarta malam tadi.

Lebih 60,000 ribu orang penyokong turun ke Stadium Gelora Bung Karno untuk menyaksikan persembahan yang cukup hebat daripada Marko Simic, bekas penyerang Negeri Sembilan dan Melaka United yang meledak empat gol untuk membunuh perancangan taktikal Raul Longhi.

Berikut adalah beberapa perkara yang kami perhatikan ketika perlawanan tadi:

KEPUTUSAN MEREHATKAN PEMAIN MENGUNDANG PADAH

Walaupun Persija jelas bermain dengan cemerlang malam ini, Johor DT seolah-olah mengundang padah dengan kesebelasan pertama yang diturunkan malam ini. Hampir kesemua pemain utama Johor DT, termasuk Safiq Rahim, Natxo Insa, Safawi Rasid, Marcos Antonio dan juga Corbin-Ong direhatkan. Keputusan tersebut tidak bijak atas dua sebab - dari perspektif kebolehan dan juga pengalaman. Safiq dan Natxo sudah biasa bermain dalam situasi tekanan tinggi dan pengalaman mereka jelas ditagih oleh skuad JDT, terutamanya dalam dua minit pertama, apabila Persija mendominasi tempo perlawanan dan melancarkan serangan bertubi-tubi.

TIGA GOL AWAL BANTU PERSIJA

Keputusan Raul Longhi untuk bermain dengan taktikal 5-4-1 mencadangkan bahawa JDT tiba di Jakarta dengan misi mencari satu mata. Namun, misi tersebut dileburkan oleh Marko Simic seawal minit ke-8, sebelum penyerang Croatia itu menjaringkan dua lagi gol sebelum minit ke-20 perlawanan. Pelan yang dibina oleh Raul Longhi terpaksa diubah serta-merta, namun pada waktu itu, Persija sudah mula mendominasi tempo perlawanan dengan mudah

BAHAGIAN SAYAP JADI TITIK KELEMAHAN JDT

Akibat JDT bermain dengan tiga orang pertahanan tengah, kebanyakkan serangan berbisa Persija dilancarkan melalui bahagian sayap, di mana Adam Nor Azlin dan juga Fazly Mazlan gagal memainkan peranan mereka. Kegagalan Adam boleh difahami kerana itu bukan posisi utamanya, Tetapi persembahan Fazly Mazlan malam ini cukup mengecewakan. Dia dibuli dengan mudah oleh Riko Simanjutak dan melalukan dua kesilapan yang membantu pasukan tuan rumah meledak dua daripada tiga gol pertama mereka pada babak pertama.

CORAK TAKTIKAL BARU GAGAL MENGEKANG SIMIC

Keputusan Raul Longhi untuk bermain dengan tiga pertahanan tengah mungkin atas faktor prestasi semasa Marko Simic di Indonesia, namun pertaruhan tersebut gagal mengekang kemaraan penyerang Croatia itu. Dia menggunakan kekuatan fizikal dan kebijaksanaan di atas padang untuk membuli Junior Eldstal, Hariss Harun dan Aidil Zafuan dengan mudah pada 20 minit pertama, sekaligus menjaringkan hat-trick yang pantas untuk membunuh pelan taktikal JDT. Pertahanan JDT juga gagal menbaca pergerakannya di atas padang, tanpa bola.

JAKMANIA JADI PEMAIN KE-12 PERSIJA

Hakikatnya adalah, kekuatan mental pemain JDT jelas terjejas dalam 20 minit pertama, akibat suasana yang dicipta oleh 60,000 penyokong Persija di Stadium Gelora Bung Karno. Selain mengeluarkan tifo besar sebelum sepak mula perlawanan, barisan penyokong The Jakmania turut memainkan peranan dengan chant-chant mereka, yang menjadi semakin kuat setiap kali Simic meledak gawang gol skuad Raul Longhi. Seperti yang kami sebut dalam artikel kami semalam, JDT mungkin pernah bermain di pentas Piala AFC. Namun mereka belum pernah berdepan dengan The Jakmania di Stadium Gelora Bung Karno.