Liga Super Malaysia

J League Iktiraf Pemain Dari “J.League Partner Nations” Sebagai Pemain Tempatan

c3b230bd0dc96f8e43106d79e907c59e

J League baru-baru ini telah mengesahkan perubahan kepada kuota pemain import mereka mulai musim 2017 nanti. Perubahan ini dilihat sebagai langkah pihak J League untuk meluaskan lagi promosi liga mereka kepada orang-orang luar terutamanya kepada negara-negara yang diiktiraf sebagai “J.League Partner Nations”.

J.League Partner Nations

J.League Partner Nations ini merupakan negara-negara yang telah menjalinkan kerjasama dari pelbagai segi dalam arena bola sepak bersama J League. Negara-negara yang terlibat akan menerima tunjuk ajar, latihan, pendedahan dan sebagainya dari pihak J League secara terus dalam usaha membangunkan bola sepak secara bersama.

Sehingga sekarang 9 buah negara telah menjadi J League Partner Nations iaitu Thailand, Vietnam, Myanmar, Cambodia, Singapore, Indonesia, Iran, Malaysia dan Qatar.

Kuota Pemain Import.

Menurut Pegawai Perhubungan Antarabangsa J League, Koyama Kei, berdasarkan kepada perubahan terbaru ini, kelab-kelab J League dibenarkan menandatangani 5 orang pemain import dari mana-mana negara dan tiada had untuk menandatangani pemain dari negara-negara berstatus J.League Partner Nations. Untuk setiap perlawanan, hanya 4 pemain import termasuk 1 pemain dari Asia.

Manakala bagi pemain berstatus J.League Partner Nations, mereka diiktiraf sebagai ‘pemain tempatan’ dan boleh diturunkan bila-bila masa dan tidak tertakluk kepada kuota pemain import yang boleh diturunkan seperti diatas.

kt_2016_0218

Contoh Situasi 1 – Urawa Reds:

Urawa Reds menandatangani 5 pemain import dari Brazil dan 2 pemain dari negara berstatus J.League Partner Nations.

Oleh itu, Urawa Reds hanya dibenarkan menurunkan 3 pemain import dari Brazil dan 2 pemain berstatus J.League Partner Nations dalam sesuatu perlawanan.

Contoh Situasi 2 – Kawasaki Frontale:

Kawasaki Frontale menandatangani 3 pemain dari Colombia, 2 dari Korea Selatan dan 2 pemain dari negara berstatus J.League Partner Nations.

Dengan ini, Kawasaki Frontale dibenarkan untuk menurunkan 4 pemain import ( termasuk sekurang-kurangnya 1 dari Korea Selatan ) serta 2 pemain dari negara berstatus J.League Partner Nations.

1010472_608072719246497_245272444_n

Contoh paling ideal adalah Consadole Sapporo yang baru sahaja menandatangani Chanathip Songkrasin secara pinjaman dan akan beraksi dalam saingan J1 League musim 2017. Dengan Thailand merupakan salah sebuah negara berstatus J.League Partner Nations, Chanathip boleh diturunkan oleh Consadole Sapporo dalam mana-mana perlawanan tanpa perlu memikirkan peraturan kuota pemain import yang dibenarkan beraksi dalam satu-satu perlawanan.

Ini juga bermakna, peluang untuk pemain dari negara berstatus J.League Partner Nations beraksi dalam saingan liga lebih tinggi dan akan menarik minat penyokong-penyokong Thailand untuk menyaksikan perlawanan Consadole Sapporo. Inilah strategi pemasaran dan pembangunan yang cuba dibawa oleh J League.