Liga Super Malaysia Berita

Sime Darby Oils, pengeluar jenama minyak masak Alif kini penaja Liga Malaysia

MFL mengumumkan Sime Darby Oils yang mengeluarkan jenama minyak masak ALIF selaku penaja terbaru Liga Malaysia.

Perjanjian tajaan untuk tahun 2022 itu telah ditandatangani oleh Pengarah Urusan Sime Darby Oils, Mohd Haris Mohd Arshad.

Antara sebab Sime Darby Oils berhasrat untuk menaja Liga Malaysia apabila liga ini dianggarkan mempunyai 21 juta para peminat di seluruh negara dengan 40% daripadanya adalah wanita, selain mempunyai lebih 1.6 juta penonton di stadium dan lebih 7.5 juta pengikut di media digital.

“Kami percaya, lebih ramai peminat bola sepak tempatan akan dapat menghargai kualiti produk minyak masak ALIF, bukan sekadar para peminat wanita yang merupakan segmen pengguna utama kami,” kata Haris.

“Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan Liga Bola Sepak Malaysia dan menemui penonton bola sepak Malaysia daripada pelbagai golongan.”

Kata Haris, Sime Darby Oils telahpun merancang pelbagai program dan aktiviti bercorak gaya hidup yang akan dilaksanakan di stadium dan juga pusat membeli-belah terpilih dengan kerjasama rakan-rakan niaga.

“Ini termasuklah aktiviti-aktiviti bersama personaliti bola sepak terkenal dan para peminat mereka di setiap negeri di seluruh negara.

“Musim bola sepak pada kali ini bakal beraksi dengan lebih meriah, terutamanya selepas terpaksa ‘berehat’ seketika ekoran pandemik COVID-19.

“Kami berhasrat untuk menghangatkan lagi suasana kemeriahan acara sukan ini dengan pelbagai aktiviti yang akan mendekatkan lagi ALIF dan bintang bola sepak Malaysia dengan para peminat bola sepak tanah air.”

Bersempena dengan pengumuman khas yang dibuat sewaktu acara berbuka puasa semalam, Sime Darby Oils turut memperkenalkan produk terbaharu ‘Minyak Masak ALIF Diperkaya dengan Vitamin D3’, selaras dengan komitmen syarikat tersebut untuk menawarkan produk berkualiti kepada para pengguna Malaysia.

Produk minyak masak terbaharu ini diperkaya dengan vitamin D3 yang membantu meningkatkan sistem imuniti.

Minyak Masak ALIF Diperkaya dengan Vitamin D3 boleh didapati di semua pasaraya terkemuka tempatan mulai Mei 2022 dan dijual dalam pek botol 5kg, 3kg, 2kg dan 1kg.

Sementara itu, CEO MFL, Stuart Ramalingam berkata, penyertaan ALIF sebagai minyak masak rasmi adalah suatu yang mengujakan bagi arena bola sepak tempatan, kerana ia membawa mesej yang positif bahawa liga bola sepak tempatan mempunyai tarikan yang tersendiri.

“Bagi pihak Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, Lembaga Pengarah dan komuniti bola sepak, kami berbangga mengalu-alukan kehadiran ALIF, salah satu jenama minyak masak tempatan terbesar, ke dalam keluarga Liga Malaysia 2022.

“Kerjasama ALIF dan MFL menandakan satu lagi penyertaan baharu jenama tempatan terkemuka yang menghargai dan menyokong industri bola sepak tempatan sebagai platform yang boleh meningkatkan kesedaran jenama.

“Setelah kita bersama-sama mengharungi wabak COVID-19, kami berterima kasih kepada SDO atas kepercayaan yang diberikan kepada kami. MFL akan melakukan yang terbaik untuk menghidupkan pengalaman bola sepak yang hebat bersama Minyak Masak ALIF.”