Malaysia Liga Super Malaysia

Selangor tumbangkan Kuala Lumpur di Cheras: Rumusan perlawanan, analisa pemain terbaik

Selepas sekian lama, derby terulung Liga Malaysia kembali. Gergasi merah kuning bertemu kembali musuh lama, Kuala Lumpur FA yang kembali beraksi di Liga Super 2018.

Skuad Kuala Lumpur diperkuat dengan barisan pemain hebat seperti penjaring terbanyak Liga Malaysia, Guilherme De Paula dan bekas pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin.

Selangor pula diperkuat dengan pemain import dari negara tetangga, Evan Dimas dan Ilham Udin Armyn yang cemerlang bersama kelab lama mereka, Bhayangkara FC.

BENTENG KUALA LUMPUR RAPUH

Perlawanan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan dilihat berhati-hati dalam mengatur serangan. Namun, benteng pertahanan skuad City Boys bolos pada minit ke-15 selepas Rufino Segovia menanduk masuk untuk menjaringkan gol pembukaan.

Tersentak dengan jaringan Selangor, Kuala Lumpur terus cuba menembusi benteng pertahanan Selangor menerusi De Paula, Paulo Josue dan Indra Putra. Separuh masa pertama berakhir dengan Selangor mendahului 1-0.

Separuh masa kedua bermula dengan Kuala Lumpur terus cuba mengasak untuk mencari gol penyamaan menerusi duo Brazil, De Paula dan Paulo Josue. Namun, kealpaan benteng pertahanan Kuala Lumpur dihukum oleh Rufino sekali lagi di masa kecederaan separuh masa kedua. Perlawanan tamat, Selangor 2-0 Kuala Lumpur.

PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN

Musim lepas, Rufino jelas antara pemain terbaik Selangor dan malam ini, dia terus menunjukkan prestasi yang cemerlang sebagai tonggak utama jentera serangan Red Giants. Penyerang Sepanyol itu meledak dua kali di Cheras dan sentiasa menekan pertahanan Kuala Lumpur dengan corak permainan yang agresif. Kita juga dapat melihat tompok-tompok keserasian di antara Rufino dan juga Ilham Udin.

LANGKAH SETERUSNYA

Kemenangan ini akan membantu Selangor dari segi ‘publisiti’ selepas isu stadium mereka menjadi topik hangat semenjak beberapa minggu lepas. Tiga mata penting ini bermakna Selangor akan kembali beraksi di Stadium Cheras menentang Melaka United pada hari Rabu depan dengan mentaliti yang positif. Manakala Kuala Lumpur pula akan terus cuba untuk mencari rentak apabila mereka berkunjung ke Paroi untuk bertembung dengan Negeri Sembilan pada hari yang sama.