FAM memperbaharui perjanjian kerjasama strategik bersama Bank Islam untuk tempoh dua tahun iaitu antara 2025 hingga 2027, yang kini memasuki pembaharuan kali kelima berturut-turut.
Perjanjian strategik tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman di Menara Bank Islam.
Di bawah perjanjian yang ditandatangani, Bank Islam akan menganjurkan program-program pengaktifan, sama ada secara digital mahupun di lokasi acara yang melibatkan FAM, termasuk penyediaan reruai khas pada hari perlawanan, aktiviti penjenamaan bersama, kandungan media sosial serta pertandingan untuk peminat.
Jalinan kerjasama ini juga menawarkan peluang kepada penyokong-penyokong skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya, memiliki kad rekaan istimewa sebagai cara menzahirkan sokongan mereka terhadap pasukan berkenaan serta menikmati pelbagai manfaat yang disediakan termasuk pengeluaran ATM dan pembayaran secara elektronik bagi pembelian tempatan dan luar negara.
Bagi setiap fi pengeluaran, tahunan, dan penggantian Kad Debit-i Team Harimau, RM2 akan disalurkan kepada FAM demi manfaat bakat-bakat muda dan program pembangunan bola sepak Malaysia.
Sehingga kini, Kad Debit-i Team Harimau mencatat lebih 2 juta pengguna di pasaran. Prestasi ini mencerminkan keyakinan dan sokongan berterusan pelanggan terhadap produk Bank Islam, di samping menyokong pembangunan pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya.
“Kami percaya bola sepak menyatukan rakyat,” kata Mizan. “Melalui kerjasama ini, Bank Islam mahu menjadi sebahagian daripada semangat itu. Justeru, kami amat berbesar hati kerana sekali lagi diberi kepercayaan dan ruang untuk menyumbang secara langsung kepada perkembangan sukan bola sepak negara.
“Bank Islam amat menghargai FAM atas kepercayaan yang diberikan dan persetujuan untuk melanjutkan kerjasama strategik ini. Usaha sama ini mencerminkan komitmen kami dalam membina semangat kesukanan dan memperkukuhkan sokongan terhadap pasukan yang membawa harapan negara. ‘Lambang di dada’ bukan hanya satu simbol tetapi satu amanah. Bank Islam berbangga dapat bersama FAM dan Harimau Malaya dalam usaha mereka mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.”
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM, CP Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menzahirkan penghargaan terhadap komitmen Bank Islam yang telah bersama FAM sejak lebih sedekad lalu.
“Selama lebih 12 tahun, Bank Islam bukan sahaja menjadi rakan penaja FAM, malah telah muncul sebagai rakan strategik sejati yang memberikan sumbangan bukan hanya dalam bentuk kewangan, tetapi juga dalam memperkasa jenama bola sepak tempatan serta mengukuhkan ekosistem bola sepak Malaysia secara keseluruhan.
“Apa yang lebih membanggakan, hubungan ini telah berkembang daripada sekadar perkongsian komersial kepada satu bentuk perkongsian nilai dan aspirasi bersama sejajar dengan visi FAM untuk mewujudkan satu struktur bola sepak yang menyeluruh, inklusif dan mampu melahirkan lebih ramai pemain, jurulatih serta pegawai teknikal bertaraf antarabangsa.
“Kerjasama erat yang terjalin bukan sahaja mengukuhkan usaha pembangunan bola sepak negara, malah memberi inspirasi kepada kami untuk terus bekerja lebih keras dalam membangunkan ekosistem yang inklusif dan mampan.
“Terima kasih sekali lagi Bank Islam kerana terus menjadi rakan kongsi yang progresif, berwawasan dan komited dalam membantu menjayakan misi serta visi kami.”