Luar Negara

Peter Crouch dedahkan bagaimana dia hampir membunuh Dirk Kuyt

Bekas penyerang Liverpool, Peter Crouch telah mendedahkan bahawa dia hampir membunuh Dirk Kuyt, seminggu sebelum skuad The Reds bertemu dengan AC Milan dalam final Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2007.

Skuad Rafa Benitez mengadakan kem latihan di Portugal sebelum perlawanan akhir tersebut dan salah satu aktiviti yang mereka sertai adalah ‘Go-Kart’. Crouch berkata bahawa dia tidak berjaya menekan brek di kawasan ‘pit stop’ dan terpaksa melanggar kereta Kuyt.

“Saya rasa insiden ini seminggu sebelum final Liga Juara-Juara Eropah. Kami di Portugal pada ketika itu untuk kem latihan dan salah satu hari, kami pergi ‘go-karting’,” kata Crouch kepada FourFourTwo

“Saya bawa ‘kart’ saya keluar untuk memusing litar beberapa kali sebelum pulang ke kawasan ‘pit stop’. Namun, bila saya nak tekan break and hentikan ‘kart’ saya, memang tak jumpa brek! Depan saya, ada Xabi Alonso dan Dirk Kuyt dan saya fikir, siapa yang lebih berharga untuk Liverpool?

“Jadi saya membelok dan menghalakan ‘kart’ ke arah Kuyt. Nasib baik dia sempat melompat dan mengelak. Kalau tidak, memang saya dah melanggarnya.

“Bila fikir semula, insiden itu memang agak bahaya. Saya hanya mampu gelak sekarang sebab Kuyt tidak mengalami sebarang kecederaan,” tambah Crouch.

Namun, Liverpool tetap tewas 2-0 di tangan AC Milan dalam final Liga Juara-Juara Eropah, seminggu selepas insiden tersebut. Filipo Inzaghi menjaringkan dua gol untuk membantu AC Milan membalas dendam bagi kekalahan yang dialami dua tahun sebelum itu di Istanbul.