Liga Super Malaysia Berita

Disebabkan SOP Covid-19, harga tiket Liga Malaysia akan naik

Harga tiket bagi perlawanan Liga Malaysia kemungkinan besar akan menjadi lebih mahal berbanding musim-musim lepas, apabila kehadiran penyokong ke stadium dibenarkan bermula 1 April ini.

Ini disebabkan setiap pasukan tuan rumah terpaksa menanggung kos untuk mematuhi SOP Covid-19.

Penyokong kemungkinan terpaksa menanggung kenaikan harga tiket perlawanan pada kadar sekitar RM5 hingga RM10.

Malah, CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan tidak menghalang mana-mana pasukan menaikkan harga tiket perlawanan.

Beliau menjangkakan, perbelanjaan pasukan akan meningkat apabila perlu menambah jumlah petugas di stadium serta menyediakan pelbagai kemudahan bagi mematuhi SOP dalam gelembung sukan.

“Harga barang pun naik pada masa ini,” katanya kepada Bernama.

“Jadi saya rasa harga tiket pun akan naik, tidak dapat dielakkan. Apa yang penting peminat menyokong sebab apa dibelanjakan adalah untuk pasukan dan secara tidak langsung membantu pasukan.”

Pada masa sama, Ghani berkata pihaknya telah meminta vendor tiket perlawanan liga untuk menyediakan petugas serta kemudahan seperti pengimbas kod respons pantas di setiap stadium sebagai usaha meringankan beban pasukan.

“Perkara ini sedang diteliti, saya percaya vendor tiket dilantik MFL akan menyediakan kemudahan tersebut, jadi tidak perlu untuk pasukan berbelanja untuk perkara itu atau menanggung apa-apa lagi kos.”

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebelum ini menyarankan supaya harga tiket dikekalkan, namun menyerahkan kepada MFL untuk membuat keputusan.

“Saya sendiri menyokong saranan itu kerana ia penting memandangkan keadaan ekonomi hari ini, tetapi apabila saya melihat kepada keadaan pasukan ketika ini, mereka perlu menaikkan harga tiket atas sebab-sebab tertentu.”

Namun Ghani mengakui, beliau akan meminta semua pasukan untuk menghantar cadangan kenaikan harga tiket masing-masing untuk diteliti MFL terlebih dahulu.