Liga Super Malaysia Berita

Kedah: Tiada tunggakan gaji pemain sehingga 5 bulan sejak tahun lalu

Kedah tampil menafikan pasukannya berdepan dengan isu tunggakan gaji sehingga 5 bulan sejak melengkapkan proses penswastaan tahun lalu.

Ini selepas muncul tuduhan bahawa Kedah menghadapi tunggakan 5 bulan gaji dan dikatakan sebagai punca kemerosotan prestasi dalam Liga Super baru-baru ini.

“Tiada tunggakan gaji kepada pasukan hingga ke hari ini,” kata CEO Kedah, Khamal Idris Ali dalam kenyataan.

Bagaimanapun, beliau mengakui Kedah berdepan dengan maaalah kewangan ketika musim 2020.

“Fakta sebenarnya adalah pada musim 2020 apabila wabak COVID-19 melanda dunia, semua pasukan Liga Malaysia terkesan akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, dimana telah menjejaskan penajaan kelab.

“Ketika itu, pasukan Kedah dibawah pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah mengalami isu tunggakan gaji selama 5 bulan dan telah diselesaikan oleh pengurusan ketika itu.”

Justeru, beliau menyifatkan dakwaan itu adalah satu kenyataan fitnah dan menyarankan agar semua pihak membuat semakan fakta sebelum mengeluarkan kenyataan tidak benar.

“Pihak Kedah akan mengenalpasti pemilik akaun yang mengeluarkan kenyataan ini dan semua akaun media sosial dan portal yang memainkan isu ini seterusnya akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya bagi memastikan isu ini tidak menjejaskan imej kelab di masa hadapan.”

Kedah menamatkan musim 2022 di tangga ke-8 Liga Super, mengumpul 27 mata daripada 22 perlawanan.

Sebaik sahaja liga berakhir, Aidil Shahrin meninggalkan Kedah selepas empat tahun bersama pasukan tersebut.

Kehilangan beberapa pemain utama seperti kapten Baddrol Bakhtiar, Kpah Sherman, Kipre Tchetche dan Rizal Ghazali dikatakan menjadi punca kepada kemerosotan prestasi Kedah.