Liga Super Malaysia Berita

KL rancang kembali berlatih pertengahan bulan Jun

Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff mendedahkan bahawa pasukannya merancang untuk kembali mengadakan sesi latihan di padang pada pertengahan bulan Jun ini.

Katanya, tempoh itu dilihat paling sesuai sebelum Liga Malaysia dibenarkan untuk bersambung semula.

“Kami sudah merangka program latihan dan kalau boleh, kami mahu memulakannya pada pertengahan Jun ini,” katanya kepada Astro Arena.

“Saya fikir tempoh enam minggu sudah cukup untuk menjalankan latihan,” katanya kepada Astro Arena.

“Tarikh untuk memulakan liga juga memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan lagi cuma kami perlu mendapatkan pengesahan daripada MFL dan FAM terlebih dahulu.”

Bagaimanapun jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mendedahkan pasukannya masih belum ada sebarang perancangan untuk kembali berlatih secara berpasukan, malah masih belum menetapkan sebarang tarikh yang memulakan sesi latihan.

“Kami akan menunggu arahan daripada pihak berkuasa. Jika mereka katakan yang kami boleh memulakan latihan, terima kasih kepada mereka.

“Kami akan mendengar ketetapan MFL dan kami akan menuruti arahan mereka. Kami hanya menunggu dan melihat apa keputusan yang akan dikeluarkan MFL.”

Setakat ini, hanya Selangor dan Kedah yang sudah mempunyai perancangan untuk kembali mengadakan sesi latihan di padang.