Malaysia Liga Super Malaysia

Issey Nakajima Farran bakal ganti Forkey Doe di Pahang?

Menjelang jendela perpindahan kedua Liga Super 2018, ada beberapa pasukan yang sudah mula merancang membawa pemain baru bagi memperkuat pasukan atau untuk menggantikan pemain yang mengalami kecederaan jangka masa panjang.

Sebelum ini Johor Darul Ta’azim sudah mengumumkan kehadiran dua pemain import baru dengan salah seorangnya adalah bekas pemain Lyon, Harry Novillo ke pasukan mereka bagi menggantikan slot Jorge Pereyra Diaz dan Luciano Figueroa.

Khabar terbaru yang sedang kuat setakat ini adalah Pahang juga bakal mencari pemain import baru di bahagian serangan bagi menggantikan tempat Francis Forkey Doe yang mengalami kecederaan.

Pemain yang dikhabarkan akan dibawa masuk ke skuad Tok Gajah adalah bekas pemain import Terengganu dari Kanada, Issey Nakajima Farran.

Issey masih belum menyertai mana-mana pasukan sejak dilepaskan oleh Terengganu dan dia cenderung untuk terus kekal beraksi di Liga Malaysia. Issey dilihat hadir ke Stadium Darul Makmur bagi menyaksikan perlawanan Suku Akhir Piala FA di antara Pahang menentang JDT.

Ketika beraksi bersama Terengganu, pemain kebangsaan Kanada ini menjaringkan 32 gol dalam 61 penampilan selama dua musim. Issey sebelum ini pernah beraksi di MLS bersama Toronto FC dan juga bermain di Eropah bersama Nordsjaelland.