Tahniah Johor Darul Ta’azim!
Skuad Southern Tigers sah juara Piala Malaysia 2017 selepas mereka berjaya menewaskan Kedah 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi. Piala ini merupakan satu-satunya piala yang belum diraih oleh JDT sejak revolusi Tunku Ismail bermula pada tahun 2013. Namun sekarang, visi TMJ untuk mempunyai kabinet trofi yang lengkap, telah direalisasikan.
Walaupun perlawanan ini dijangka akan sengit, namun gol awal yang dijaringkan oleh Aidil Zafuan pada minit ke-2 berjaya meletakkan JDT dalam situasi yang selesa. Mereka berjaya mendominasi seluruh perlawanan selepas itu dan mengekang tonggak utama Kedah seperti Liridon Krasniqi, Ken Ilso dan juga Sandro.
Kedah jelas mempunyai beberapa peluang, terutamanya melalui Baddrol Bakthiar. Malangnya, kedua-dua peluang tersebut dinafikan oleh palang gol. Namun perlawanan ini terus didominasikan oleh JDT, terutamanya selepas mereka menjaringkan gol kedua melalui Gonzalo Cabrera.
Ini bermakna JDT akan mengakhiri tahun 2017 dengan dua piala, selepas turut berjaya merangkul kejuaraan Liga Super pada bulan lepas. Ini juga merupakan piala ke-9 untuk pasukan JDT sejak revolusi TMJ bermula pada tahun 2013.
Walaupun persembahan mereka tidak begitu konsisten pada tahun ini, kebolehan Johor DT menjuarai liga dan juga meraih Piala Malaysia akan menjadi platform yang cukup penting untuk mereka membina misi dan visi untuk tahun 2018.
Persoalannya, apa perancangan seterusnya untuk pasukan JDT?