Tan Cheng Hoe telah membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya sebagai jurulatih skuad Harimau Malaya.
Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat setelah Cheng Hoe mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan FAM.
“Beliau menyatakan hasratnya itu berikutan kegagalan skuad kendaliannya melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, baru-baru ini.
“Selepas berbincang secara terbuka dari semua sudut, pihak pengurusan FAM akhirnya menghormati keputusan tersebut dan telah bersetuju untuk melepaskan Cheng Hoe menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak.
“FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Cheng Hoe yang secara keseluruhannya telah berkhidmat selama 14 tahun bersama FAM.”
Cheng Hoe bergelar penolong jurulatih skuad B-20 kebangsaan pada 2005 hingga 2013 sebagai penolong jurulatih kebangsaan dan kembali semula pada 2017 sebagai penolong jurulatih kebangsaan kepada Nelo Vingada.
Antara kejayaan yang diraih beliau ialah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu kepada Datuk K. Rajagobal serta naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku ketua jurulatih.
“Jasa dan sumbangan beliau akan sentiasa dikenang. Terima kasih,” tambah Saifuddin.
“Selamat maju jaya juga kepada Cheng Hoe dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini.”