Nampaknya pasukan Selangor dan peminatnya terpaksa menunggu lebih lama untuk pulang ke rumah mereka, Stadium Shah Alam.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penangguhan kerja-kerja pembaikan dan naik taraf sepanjang tempoh PKP sebelum ini menyebabkan ia kini dijangka siap pada 2024.
“Kerja-kerja pembaikan stadium sepatutnya dimulakan tahun ini, tetapi tertangguh kerana Covid-19,” katanya kepada NST.
“Ia akan mengambil masa kira-kira satu hingga dua tahun. Saya rasa hujung tahun ini, kita akan mulakan.”
Disebabkan itu, Amirudin menjangkakan Selangor akan terus menggunakan Stadium MBPJ sebagai rumah sementara mereka.
Stadium Shah Alam, yang menjadi rumah Selangor sejak 1994, kini berada dalam keadaan daif, terutamanya struktur bumbung stadium yang mengalami kerosakan yang amat ketara.
Kerajaan negeri membuat keputusan untuk menutup sementara stadium untuk kerja-kerja pembaikan dan naik taraf, yang akan menelan belanja sehingga RM350 juta berdasarkan penilaian Jabatan Kerja Raya.
“Stadium mula terjejas apabila ada banjir besar pada 2006 menyebabkan kerosakan sistem di bawahnya,” kata Amirudin beberapa bulan lalu.
“Penyelengaraannya juga tinggi mengakibatkan kita rugi RM5 juta, malah pernah RM8 juta.
“Selepas beberapa tahun buat pembaikan kecil-kecilan, sudah tiba masanya kita buat naik taraf sepenuhnya.”