Malaysia Berita

Ali Imran dan Harith Haiqal buru tempat dalam skuad B-18 negara

Ali Imran Sukari dan Harith Haiqal Adam Afkar adalah dua pemain pelapis yang berjaya melakar rekod peribadi apabila dipilih menyertai program Asian Eleven di Fukushima pada 23 Jun lalu.

Selepas berjaya beraksi bersama pasukan Asian Eleven, fokus kedua-dua pemain ini bakal terarah dalam merebut tempat dalam pasukan muda negara yang bakal beraksi di Kejuaraan AFF B-18 di Vietnam pada 5 hingga 18 Ogos nanti.

Kedua-dua pemain yang lahir daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang ini bakal bersaing dengan pemain yang lebih berusia daripada mereka.

Tetapi itu tidak akan menutup semangat juang mereka bagi menjayakan misi agar terpilih menjadi sebahagian daripada pasukan Malaysia B-18, di mana Malaysia berpeluang untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi lalu.

“Saya tidak berani mengatakan peluang saya (terpilih) cerah tetapi saya akan tampilkan aksi terbaik dalam saingan Piala Presiden. Saya mahu perbaiki prestasi untuk cuba memikat jurulatih menyenaraikan saya dalam pasukan,” kata Harith Haiqal kepada BH Sukan.

Pengalaman kedua-dua pemain ini beraksi dalam saingan Piala Presiden akan memberi mereka peluang terbaik mempamerkan kemampuan mereka.

Biarpun diundi dalam kumpulan maut apabila bakal berdepan saingan daripada Thailand, Vietnam, Kemboja, Singapura dan Australia, ia tidak mematahkan semangat juang kedua-dua pemain ini untuk membantu Malaysia melakar satu lagi kejayaan di pentas antarabangsa.

“Kumpulan yang sukar. Memang diakui Australia adalah pencabar terkuat dalam kumpulan ini tetapi sebagai pemain (kalau terpilih) kami tidak boleh takut dan cuba berikan saingan kepada negara lain,” kata Ali Imran.