Pengarah baharu Newcastle United, Amanda Staveley mendedahkan bahawa pelan jangka panjang untuk pasukannya adalah untuk menjuarai Premier League.
Ini setelah Newcastle diambilalih secara rasmi oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) dari kerajaan Arab Saudi, mengakhiri 14 tahun era pemilikan Mike Ashley.
“Newcastle United layak berada di puncak Premier League,” kata Staveley kepada Sky Sports.
“Kami mahukannya. Ia akan memakan masa, tetapi kami akan mencapainya.
“Kami bangga menjadi sebahagian daripada Premier League. Ini adalah liga yang sangat kompetitif. Bola sepak Premier League adalah yang terbaik di dunia, dan Newcastle United adalah pasukan terbaik di dunia.
“Kami ingin melihat pasukan ini menjulang trofi itu. Di puncak Premier League, di Eropah, tetapi untuk mendapatkan trofi ini bermaksud kita perlukan kesabaran, pelaburan dan masa. Kami mahu semua orang bekerjasama dengan kami untuk membina kelab ke arah yang dimahukan.”
Staveley merupakan ketua eksekutif PCP Capital Partners yang menjadi sebahagian daripada kumpulan pelaburan konsortium, yang diketuai oleh Dana Pelaburan Awam (PIF) dan juga terdiri dari RB Sports & Media.
Staveley mengatakan pemilik baru “ingin melabur di setiap peringkat” dan meskipun Steve Bruce bakal diganti, sekarang bukan masa yang sesuai untuk memikirkan mengenai jurulatih dan pemain.
Nama-nama baru di Newcastle
Yasir Al-Rumayyan, Gabenor PIF akan berkhidmat sebagai ketua bukan eksekutif Newcastle United. Selain Staveley, Jamie Reuben juga akan menjadi pengarah kelab, yang mewakili RB Sports & Media.
“Kami mempunyai skuad yang hebat,” tambah Staveley.
“Saya sempat berbual dengan kapten pasukan, Jamaal Lascelles. Kami sangat teruja untuk memperkuatkan skuad, tetapi kami perlu melakukannya mengikut Financial Fair Play dan memastikan ini dilakukan dalam jangka masa panjang.
“Tetapi apa yang anda perlu tahu dan jaminannya bahawa kami ingin melabur di semua peringkat. Kami mahu mendapatkan skuad terbaik.
“Semua orang membincangkannya (pemain bintang), tetapi apa yang anda perlukan adalah pasukan yang bekerjasama dengan baik. Itu juga sama pentingnya.”
Ditanya mengenai masa depan Steve Bruce, Staveley berkata pihaknya tidak akan terburu-buru memecat jurulatih sebelum membuat analisis menyeluruh.
“Kami tidak akan membincangkan tentang pengurus baharu atau pemain bintang mana yang kami mahukan. Kami akan melakukan semakan dahulu dari segi operasi bola sepak, dari segi komersial juga, sebelum membuat beberapa keputusan.”
Staveley juga memberi jaminan bahawa beliau bersama pemilik baru akan memainkan peranan dengan sangat serius.
“Sudah tentu kami mengambil masa yang lama untuk sampai ke tahap ini,” kata Staveley.
“Perlawanan pertama yang saya hadiri ialah Newcastle-Liverpool. Saya memerlukan setengah jam sahaja untuk jatuh cinta dengan bandar, kelab, dengan peminat mereka yang luar biasa. Hari ini sungguh luar biasa.”
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat. Kami tidak akan berada di sini tanpa mereka hari ini, ini adalah kelab mereka.
“Kami mahu menjadi penjaga kelab yang hebat ini. Kami mengambil peranan kami dengan sangat serius. Kami tidak mahu terlalu banyak berjanji, kerana saya telah melihat ramai yang datang ke kelab dan mengatakan ‘Kami akan melakukan ini’, tetapi sebenarnya kami ingin benar-benar melabur di setiap bahagian kelab ini.
“Kami tahu kelab ini adalah jantung masyarakat, anda dapat merasakannya. Ini sangat menyentuh hati saya juga, kerana akhirnya dapat membicarakannya secara terbuka.”
Bagaimanapun, Newcastle kini berada di tangga ke-19 dalam liga dan Staveley mengakui bahawa walaupun kedudukan mereka menjadi perhatian, beliau yakin pasukannya mampu keluar dari zon penyingkiran.
“Penyingkiran adalah masalah besar pada masa ini, dan kami harus bekerja keras. Prestasi baik dapat dilakukan dengan sedikit peningkatan, tetapi kami mempunyai skuad yang hebat dan skuad ini seharusnya tidak berada di posisi ke-19. Tidak sepatutnya berlaku. Tetapi dengan tuah dan kerja keras kita akan mencapainya.
“Ini juga menunjukkan komitmen PIF dan Jamie Reuben. Apa yang dapat saya katakan, sebagai PCP, saya mempunyai pelabur yang berani dan penuh sabar di samping saya. Mereka harus menghadapi cabaran ini. Mereka tahu betapa pentingnya kelab ini kepada komunitinya. Kami menghargai di mana kami berada dalam liga dan kami tahu penyingkiran adalah masalah sebenar.”
Ketika ditanya mengenai isu hak asasi manusia yang membelenggu Arab Saudi, Staveley bagaimanapun tidak terlalu bimbang.
“Rakan utama konsortium ini adalah PIF, ini adalah dana pelaburan yang dikendalikan secara komersil. Ia adalah rakan kongsi yang baik untuk Newcastle. Saya sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan mereka, mereka telah menjadi rakan yang sangat sabar dan hebat untuk PCP.
“Bagi saya ketika saya datang ke sini, saya tahu hanya ada satu pihak untuk Newcastle. Jelas sekali, kerana anda memerlukan seseorang yang mempunyai kesabaran, yang berani, dapat membuat keputusan cepat, dan juga dapat berada pada hari-hari cerah dan ketika hujan mula turun.
“Saya mendengar (kebimbangan), kami mahu semua peminat bercakap dengan kami, jadi sesiapa yang mempunyai masalah mereka tahu bahawa kami ada di sini dan mereka boleh datang bercakap dengan kami. Kami akan membincangkannya dan memperkenalkan semua orang kepada pasukan PIF.”