Liga Super Malaysia Berita

Hafizul Hakim: Perak tidak beraksi buruk, masih boleh diselamatkan

Kapten pasukan Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy percaya pasukannya masih boleh diselamatkan daripada tersingkir ke Liga Premier.

Penjaga gol berusia 28 tahun itu berkata, pasukannya tidaklah mempamerkan aksi yang terlalu teruk, meskipun Perak mencatatkan tiga kekalahan berturut-turut dan melalui enam perlawanan tanpa meraih kemenangan.

Malah, ia menyebabkan Chong Yee Fatt direhatkan dan pasukan Perak diambil alih oleh Shahril Nizam Khalil sehingga penghujung musim ini.

“Saya tidak fikir kami bermain buruk walaupun kami tewas dalam perlawanan,” kata Hafizul kepada NST.

“Kami telah kehilangan beberapa pemain utama dan kami kini menggunakan anak muda dan import baru. Mereka memerlukan masa untuk sesuaikan diri.

“Masalahnya ialah kita tidak mempunyai banyak masa. Pemain berada di bawah tekanan kerana kedudukan kami dalam saingan liga. Sebagai ketua pasukan, tugas saya adalah untuk memotivasikan pemain.

“Kesilapan di gawang gol memang memberi kesan kepada kedudukan pasukan dan saya harus menanggungnya, tetapi saya tidak boleh membiarkan kekecewaan saya mempengaruhi rakan sepasukan.

“Kita semua perlu fokus dalam empat perlawanan terakhir, saya masih yakin kami mempunyai kualiti untuk melepaskan diri daripada penyingkiran.”

Hafizul berkata, para pemain mampu menyesuaikan diri dengan corak permainan Shahril dan berharap ia akan membuahkan hasil dalam perlawanan akan datang.

“Shahril telah bersama pasukan sejak Karl-Heinz Weigang, Mehmet Durakovic dan Yee Fatt. Dia memiliki pengalaman dan taktikalnya difahami dengan baik oleh para pemain.”

Perak kini menduduki tangga ke-11 dengan mengumpul 13 mata daripada 18 perlawanan, mencatatkan 3 kemenangan, 4 seri dan 11 kekalahan.

Perak mesti mengumpul mata penuh dalam empat perlawanan terakhir menentang Selangor pada 21 Ogos ini, Kedah pada 28 Ogos, Melaka pada 3 September dan Sabah pada 12 September.

UiTM FC hampir pasti akan tersingkir ke Liga Premier dengan hanya 5 mata, manakala pencabar terdekat Perak iaitu Melaka sedang berusaha untuk kekal di Liga Super selepas hanya mengumpul 16 mata selepas 18 perlawanan.

Melaka akan menentang UiTM pada 22 Ogos, Selangor pada 28 Ogos, Perak pada 3 September dan Kedah pada 12 September.