Liga Super Malaysia Berita

FAM mahu tarik lesen kelab yang masih enggan bayar tunggakan gaji pemain

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mendedahkan bahawa pihaknya akan mengenakan pelbagai hukuman termasuk menarik lesen kelab yang masih culas untuk membayar gaji pemainnya.

Katanya, pembentangan suku kedua bajet dan kewangan pasukan akan menjadi penentu dan nasib beberapa pasukan akan diketahui selewat-lewatnya pertengahan bulan ini selepas Jawatankuasa Status Pemain mengadakan semakan dan pemeriksaan dokumen kewangan setiap pasukan.

“Sebelum ini saya sudah ingatkan kepada pengurusan pasukan bahawa lesen kebangsaan dan AFC 2020 boleh ditarik balik jika mereka gagal mengemukakan dokumen kewangan yang kukuh untuk suku kedua,” katanya kepada Arena Metro.

“Mereka belum lagi selamat dan mungkin boleh dikenakan hukuman pemotongan mata atau sekatan pembelian pemain sebagai peringatan supaya tidak melakukan kesalahan sama.

“FAM tidak lepas tangan namun kami perlu mencari penyelesaian terbaik dengan memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak.”

Stuart berkata, pihaknya tidak mahu mengambil langkah terburu-buru dengan menyingkirkan pasukan yang gagal menjelaskan sepenuhnya tunggakan gaji atau hutang kerana ia akan memberi kesan lebih buruk, seperti apa yang berlaku pada Kuantan Marcerra dan Perlis FA.

“Bayangkan apabila pasukan bola sepak ditutup sudah pasti ia akan menjejaskan kira-kira 30 individu termasuk pemain dan barisan kejurulatihan sekali gus menimbulkan masalah lain.

“Ketika ini, FAM berusaha mencari penyelesaian terbaik dan sekurang-kurangnya hutang dibayar secara ansuran kerana kaedah itu lebih baik daripada pemain langsung tidak mendapat sebarang bayaran.”

Ketika ini, pasukan Liga Super yang masih berdepan masalah tunggakan gaji pemain adalah Melaka United manakala di Liga Premier adalah Kelantan FA.