Malaysia Berita

FAM: Malaysia bakal adakan perlawanan persahabatan dengan kelab UAE

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan Malaysia berkemungkinan besar akan beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang sebuah kelab dari UAE sebelum bertemu skuad kebangsaan UAE dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, pada 26 Mac ini.

Ini selepas Persatuan Bola Sepak Bahrain (BFA), membatalkan perlawanan persahabatan pada 21 Mac selepas kerajaannya mengetatkan kemasukan individu akibat wabak COVID-19.

“Berkemungkinan besar kita akan bertolak awal ke UAE dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan sebuah kelab berstatus tinggi di sana,” katanya kepada Bernama.

“Agak sukar untuk mendapat pasukan lain kerana mereka mempunyai perancangan masing-masing, di tambah pula dengan wabak COVID-19. Sekiranya ada pasukan bersetuju, kita akan bermain dengan pasukan itu tetapi ketika ini, belum ada lagi.”

Hamidin berkata pihak FAM juga akan melakukan pemeriksaan suhu badan terhadap penonton ketika aksi menentang Vietnam pada 31 Mac nanti.

“Kita akan melakukan beberapa langkah pencegahan seperti pemeriksaan suhu badan di pintu masuk dan menyediakan hand sanitiser kepada penonton, kerana kita mahu mengurangkan risiko walaupun penularan wabak COVID-19 agak kurang pada masa ini.

“Kita juga meminta semua pasukan melakukan perkara sama semasa perlawanan Liga Malaysia, yang akan membuka tirai pada Jumaat ini. Sekiranya ada nasihat tambahan daripada Kementerian Kesihatan, kita akan ikut.”