Ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto berharap dapat memanfaatkan kem latihan berpusat di Johor bagi menghadapi saingan Liga Super bermula 24 Julai ini.
Skuad Sabah tiba di Johor Bahru pada Jumaat lepas bagi menjalani kem latihan itu dan telah mengadakan satu perlawanan persahabatan menentang Johor Darul Ta’zim II di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin yang berkesudahan dengan kemenangan 3-1.
Katanya, Sabah dijadual melawan Johor Darul Ta’zim II sekali lagi dalam perlawanan persahabatan di stadium sama, dan sesi kem latihan yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) itu diteruskan sebelum perlawanan menentang PJ City pada 24 Julai ini.
“Semua 26 pemain yang dibawa ke Johor Bahru akan diberi peluang bermain dalam perlawanan latihan persahabatan itu nanti agar mereka dapat merasakan tekanan dalam perlawanan sekali gus memperbaiki ‘match fitness’ masing-masing.
“Perlawanan latihan persahabatan kita lalui ini amat penting bagi mencari keserasian,” katanya kepada Bernama.
“Kelebihan serta kelemahan yang ada sebelum pertemuan menentang PJ City nanti.”
Mengulas mengenai dua pemain baharu pasukan iaitu pemain pertahanan import Risto Mitrevski dan bekas pertahanan kebangsaan Nazirul Naim Che Hashim yang dipinjam dari Perak, Kurniawan berkata mereka telah mula menunjukkan keserasian bersama pasukan.
“Mereka sudah mengerti dan memahami apa yang menjadi game plan kita, kedua-dua pemain itu akan diuji dalam perlawanan latihan persahabatan dan berharap mereka akan cepat faham dan mudah dapat menyesuaikan diri.”