Khabar angin di Thailand bertiup kencang sehingga ke selatan Malaysia apabila dilaporkan BG Pathum United mahu mendapatkan khidmat penyerang JDT, Diogo Luis Santo.
Menurut beberapa laporan media di Thailand, pendahulu Liga Thailand itu bersedia menawarkan gaji lumayan kepada pemain Brazil berusia 33 tahun itu.
Diogo pertama kali tiba di Asia Tenggara apabila berhijrah dari Palmeiras ke Buriram United pada 2015.
Di Buriram, Diogo menjaringkan 132 gol dalam semua pertandingan dan memenangi 11 piala termasuk tiga kali juara Liga Thailand.
Prestasinya ternyata menarik perhatian JDT yang menandatanganinya pada musim 2019, dengan yuran perpindahan dianggarkan sekitar 1.5 juta euro.
Setakat ini, Diogo telah membantu JDT memenangi 5 piala termasuk dua kali juara Liga Super dan Piala Malaysia.
Bagaimanapun, jurucakap JDT enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi tersebut.
“Saya tidak dapat memberikan sebarang komen mengenai perkara ini kerana pihak pengurusan akan membuat keputusan mengenai masa depan Diogo,” katanya kepada Bernama.
“Sebarang pertukaran pemain akan dimaklumkan melalui laman media sosial kami.”
Jika benar, adakah JDT akan membawa penyerang baharu pada musim depan?