Liga Super Malaysia Berita

FAM gantung 4 pengadil Liga Malaysia, 4 pengadil lagi diberi amaran keras

Seramai empat pengadil digantung tugas selepas didapati melakukan kesilapan ketika mengendalikan perlawanan Liga Malaysia musim ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Md Dali Wahid, seramai 8 orang pengadil dan penolong pengadil telah dikenakan tindakan hukuman iaitu amaran keras (4 orang), digantung tugas selama dua minggu (2 orang) dan digantung tugas untuk satu tempoh yang akan ditetapkan kemudian (2 orang).

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengadil FAM bagi penggal 2017-2021 yang telah berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 15 Oktober 2020.

Katanya, 8 pengadil berkenaan telah direhatkan daripada perlawanan musim ini dan berdepan hukuman diturunkan ke liga bawahan sekiranya masih mengulangi kesalahan sama.

“Kita mendapati prestasi lapan pengadil itu tidak mencapai tahap yang kita hendaki,” kata Dali.

“Bagaimanapun selepas meneliti laporan setiap perlawanan CIMB Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020, jawatankuasa berpendapat prestasi keseluruhan pengadil dan penolong pengadil sepanjang musim ini adalah pada tahap memuaskan, biarpun terdapat sebilangan mereka yang gagal menjalankan tugas dengan baik apabila melakukan kesilapan dalam membuat keputusan.

“Jumlah aduan dan bantahan yang diterima daripada pasukan bertanding sepanjang saingan liga juga adalah rendah iaitu hanya menerima sebanyak empat aduan rasmi iaitu UiTM FC, Terengganu FC, Sabah dan Petaling Jaya City FC, manakala lain-lain pasukan hanya membantah melalui media.

Dalam pada itu, lebih daripada 32 pengadil bakal terlibat mengadili Piala Malaysia yang bakal berlangsung dari 6 hingga 22 Nov ini.

Katanya, jumlah berkenaan dijangka bertambah mengikut keperluan sesebuah perlawanan.

“Penggunaan 6 pengadil termasuk 2 penolong pengadil di belakang garisan gol yang diperkenalkan pada aksi suku akhir Piala Malaysia pada musim lepas akan terus dikekalkan pada kempen Piala Malaysia musim ini.

“Insya-Allah, pada saingan Piala Malaysia, kita akan menggunakan 10 pengadil baharu, namun bukan sebagai pengadil utama, tetapi sebaliknya sebagai penolong pengadil satu dan sebagainya untuk mereka menimba pengalaman terlebih dahulu.”