Liga Super Malaysia Berita

Koperasi Anak Kedah bakal miliki 80 peratus saham pasukan Kedah

Penasihat Koperasi Anak Kedah Berhad (KAKB), Ahmad Shaizuan Kamaruzzaman mendedahkan pihaknya sudah mengusulkan hasrat untuk memiliki sebanyak 80 peratus saham pasukan Kedah.

Katanya, Kedah FA sudah memberikan persetujuan secara lisan berhubung hasrat KAKB, dan hanya menunggu jawapan rasmi daripada persatuan itu.

“Dalam perjumpaan sebelum ini, KAKB memohon untuk memiliki 80 peratus saham dalam pengurusan pasukan bola sepak Kedah dan perkara ini secara lisan dipersetujui oleh Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Zulkifli Che Haron,” katanya kepada Sinar Harian.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk membuat semakan wajar ke atas akaun melibatkan aset dan liabiliti keseluruhan yang sedang ditanggung dan dimiliki oleh KFA.

“Perkara ini adalah langkah yang wajar kerana koperasi ini diterajui oleh golongan ahli perniagaan dan seolah-olah ini satu jalan seperti mahu mengambil sebuah syarikat.”

Shaizuan berkata, satu surat yang dipanggil ‘ringkasan terma’ diperlukan oleh KAKB bagi membenarkan pihaknya membuat penilaian tertakluk kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Sekarang ini kami menunggu keputusan daripada KFA sahaja dan sudah tentu tempoh masa yang ada sekarang sudah tidak banyak untuk langkah seterusnya seperti menyemak kontrak jurulatih dan semua pemain. Semua perkara ini akan mengambil masa.”

Tambahnya, KAKB juga telahpun membentangkan pelan pelaburan dan potensi perniagaan bola sepak kepada SKM.

“SKM memberi respon amat positif terhadap cadangan pemilikan saham oleh KAKB.

“Dalam pembentangan tersebut, pihak KAKB menunjukkan pelan perniagaan yang bakal dilaksanakan bukan sahaja unik tetapi juga boleh memberi pulangan positif kepada syarikat FC dan ahli-ahli koperasi,” katanya.

“Kejayaan projek itu juga akan menarik lebih ramai pihak di negeri-negeri lain menjadikan koperasi sebagai platform bagi menguruskan perniagaan bola sepak.”