Liga Super Malaysia Berita

Benjamin Mora: JDT enggan pandang mudah UiTM

JDT dijangka menang mudah ke atas UiTM FC hari ini, tetapi jurulatih Benjamin Mora enggan memikirkannya sebaliknya, beliau hanya mahu pemainnya berada dalam keadaan cergas.

Ini terutamanya apabila kapten pasukan Hariss Harun terlepas perlawanan menentang Suwon Bluewings dan masih belum diketahui sama ada dapat beraksi berdepan UiTM.

“Saya mahukan pemain cergas terutama aspek fizikal dan mental dan percaya mereka tidak berdepan masalah untuk kembali berada di tahap memuaskan,” katanya kepada Arena Metro.

“Namun saya tidak bimbang kerana beberapa pemain seperti Leandro Velazquez, Matthew Davies dan Liridon Krasniqi bersedia kembali beraksi.

“Mungkin akan ada penggiliran pemain dan ia langkah terbaik bagi memastikan pemain yang mengharungi tiga perlawanan dalam masa terdekat mendapat rehat yang secukupnya dan memberi peluang kepada pemain yang tidak diturunkan sebelum ini.

Pada masa sama, Mora tetap berwaspada terhadap UiTM.

“Di atas kertas UiTM FC mungkin bukan tandingan tetapi pasukan seperti ini yang kita harus berjaga-jaga kerana mereka akan turun habis-habisan untuk membuktikan kepada peminat bola sepak, mereka mampu bersaing dengan mana-mana pasukan di Liga Super.”