Liga Premier Malaysia Berita

Indra Putra berhasrat untuk menamatkan kariernya di Kuala Lumpur

Indra Putra Mahayuddin sudah bergelar pemain bolasepak profesional selama 18 tahun. Kini, beliau berhasrat untuk menamatkan kariernya di Kuala Lumpur.

Pemain yang berasal dari Ipoh itu akan mencecah usia 39 tahun pada bulan September tahun ini, tetapi beliau masih mahu terus beraksi dalam arena bolasepak negara.

Justeru itu, buat masa ini, Indra tidak memikirkan soal persaraan kerana berharap dapat membantu Kuala Lumpur kembali ke Liga Super musim depan.

“Saya mempunyai misi dan sasaran tersendiri,” katanya kepada Sinar.

“Saya juga ada sasaran tersendiri untuk Kuala Lumpur dengan membantu pasukan kembali beraksi dalam saingan Liga Super tahun depan. Itulah sasaran utama saya ketika ini.

“Selagi khidmat saya diperlukan, saya akan terus membantu pasukan. Insya-Allah, saya akan cuba menjaringkan gol semampu yang boleh.”

Indra juga menganggap kehadiran bekas kapten skuad kebangsaan, Shukor Adan menambahkan lagi kekuatan Kuala Lumpur bagi mengharungi saingan Liga Premier musim ini.

“Saya percaya dengan pengalaman yang dimilikinya, Shukor mampu membawa impak positif kepada pasukan. Saya juga berharap Shukor dapat membimbing pemain lain khususnya pemain muda.

Ini merupakan tahun ketiga Indra bersama KL, dan beliau mengharapkan dapat terus mempamerkan aksi yang terbaik pada musim ini.

“Insya-Allah, saya masih mahu terus beraksi, masih mahu bermain bola sepak dan kalau rezeki saya masih bersama Kuala Lumpur, saya akan bersara di sini.”