Berita AFC Champions League

[VIDEO] ACL2020: Safawi Rasid mahu JDT pamer aksi lebih baik daripada musim lepas

Safawi Rasid menganggap prestasi JDT pada AFC Champions League musim lepas agak memuaskan, namun pemain berusia 22 tahun itu mahu rakan sepasukannya mempamerkan aksi lebih baik pada musim ini.

Musim lepas, JDT berjaya menewaskan gergasi Jepun, Kashima Antlers dan seri dengan kelab Korea Selatan, Gyeongnam FC, walaupun akhirnya terpaksa berpuas hati apabila menamatkan saingan ACL di tempat terakhir dalam Kumpulan E.

https://twitter.com/OfficialJohor/status/1226826629776732161?s=20

 

Kini, juara bertahan Liga Super itu sudah tiba di Jepun dan berdepan cabaran baharu apabila memulakan kempen ACL2020 menentang Vissel Kobe esok, sebuah pasukan yang ditunjangi oleh bekas pemain Barcelona, Andres Iniesta dan bekas pemain Arsenal, Thomas Vermaelen.

Namun, Safawi nampak lebih yakin, malah percaya sesi pra-musim di Dubai, UAE memberikan persiapan terbaik buat para pemain JDT.

“Ini tahun kedua kami bermain di ACL,” katanya kepada JDT TV.

 

“Saya rasa persiapan taktikal dan perancangan pada tahun ini lebih baik, kerana semua orang bekerja keras untuk memberikan yang terbaik di ACL.

“Kami tahu Vissel mempunyai pemain yang bermain di Liga Perdana Inggeris dan Liga La Liga. Ia akan jadi satu pengalaman yang baik untuk JDT, dan kalau boleh dapat menghasilkan keputusan yang baik pada perlawanan itu nanti.”