Liga Super Malaysia Berita

Adam Nor Azlin mahu kembali ke prestasi terbaik

Selepas tiga tahun di JDT, Adam Nor Azlin mengakui beliau masih belum berpuas hati dengan prestasi dirinya ketika ini.

Malah, pemain berusia 24 tahun itu yang ketika ini berada di Dubai, UAE untuk sesi pra-musim JDT, benar-benar mahu kembali pada prestasi terbaik selepas gagal menyerlah pada musim lalu, termasuk pada Sukan SEA Manila, dua bulan lalu.

“Saya akui, prestasi pada 2019 tidak berapa baik,” katanya kepada The Star.

“Di awal musim, saya berada di tahap terbaik tetapi dalam enam bulan kebelakangan ini, semuanya berubah. Saya langsung tak gembira.

“Saya selalu fikir saya perlu berusaha bersungguh-sungguh dan ambil masa yang lebih banyak dalam sesi latihan supaya lebih konsisten.”

Justeru, Adam mahu kembali ke prestasi terbaik bagi membantu JDT dan skuad kebangsaan meraih lebih banyak kejayaan.

“Saya mahu membantu JDT mencapai tahap tertinggi dalam bola sepak Asia dan juga membantu negara layak ke Piala Asia 2023.

“Untuk realisasikannya, saya perlu memastikan bahawa saya sentiasa berada dalam kesebelasan utama. Saya tak selalu dalam kesebelasan skuad kebangsaan kerana persaingan yang sengit. Jadi saya perlu bersaing untuk mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan.

“Persiapan di Dubai berjalan lancar. Saya rasa Dubai merupakan lokasi terbaik untuk beraksi menentang pasukan berkualiti sebelum liga bermula.”

Setakat ini, JDT tewas sekali kepada kelab Latvia, Riga FC dan menang sekali menentang kelab UAE, Dibba Al-Fujairah.

Mereka akan menentang skuad kebangsaan Turkmenistan esok, sebelum bertemu kelab Slovakia, MSK Zilina (29 Januari) dan menamatkan pra-musim menentang satu lagi kelab UAE, Emirates FC (30 Jan).