Liga Super Malaysia Berita

Empat nama disebut-sebut bakal kemudi TFC

Terengganu FC (TFC) dalam pencarian ketua jurulatih baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas pengendali skuad Penyu, Irfan Bakti Abu Salim yang meletak jawatan.

Tugas ketua jurulatih buat sementara waktu digalas oleh penolong jurulatih, Nafuzi Zain sementara sebelum Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) memutuskan jurulatih baharu.

Setelah hampir sebulan kerusi jurulatih tersebut kosong, terdapat beberapa nama yang telah menjadi buah mulut PBSNT untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Irfan.

Antara nama-nama tersebut adalah bekas jurulatih T-Team – Tomislav Steinbrucker, Azlan Johar dan juga jurulatih dari Indonesia, Rahmad Darmawan.

Tambahan daripada itu, bekas pemain pertahanan Terengganu era 90-an, Mohamad Ishak Kunju turut menawarkan diri untuk melatih pasukan TFC.

Menurut sumber BH Sukan, jurulatih Indonesia, Rahmad sudah menghantar borang permohonan kepada PBSNT untuk mengemudi pasukan itu pada baki aksi Liga Super.

Dalam laporan yang sama, terdapat beberapa jurulatih tempatan dan juga luar negara yang menyatakan minat untuk membawa TFC dan sudah menghantar permohonan rasmi kepada badan induk bola sepak negeri.

Setakat ini, PBSNT masih lagi dalam peringkat menilai semua jurulatih yang mahu dibawa masuk.