Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menganggap kegagalan skuad Harimau Muda negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 membantutkan Peta Hala Tuju FAM atau F:30.
Malah, bagi Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo menyatakan F:30 melibatkan perancangan jangka panjang dari tahun 2019 sehingga 2030 dengan beberapa misi lain perlu diberi keutamaan.
Misi lain yang terkandung dalam F:30 adalah skuad senior negara, Harimau Malaya melayakkan diri ke Piala Asia 2023 dan skuad B-19 layak ke Piala Dunia B-20, tahun 2023.
Manakala bagi skuad B-17, FAM mengariskan di dalam F:30 untuk layak ke Piala Dunia B-17 pada tahun 2021 dan skuad B-15 pula diletakkan misi untuk memenangi Kejuaraan AFF B-15 yang akan berlangsung pada tahun 2021.
Beliau turut menjelaskan kemajuan yang dipersembahkan daripada segi corak permainan diatas padang menunjukkan petanda positif.
“Biarpun misi layak ke Sukan Olimpik 2020 terkandung dalam F:30, persembahan pasukan negara dan kemajuan atas padang yang jelas dilihat, kita tidak boleh terus menganggap bahawa F:30 sudah gagal kerana ia adalah peta hala tuju jangka panjang,” kat De Roo.
“FAM akan memastikan perancangan atau persiapan lebih teliti dan rapi bagi memastikan skuad muda negara selepas ini akan lebih mantap bagi menghadapi saingan kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2024 untuk kita meneruskan pula misi layak ke Sukan Olimpik berikutnya di Paris, Perancis pada tahun 2024.”