Malaysia Berita

Kevin Ramalingam: TCFC sah bermain di Liga Premier atau tidak akan ditentukan oleh FAM

Walaupun berjaya menjulang trofi Piala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) 2018 baru-baru ini, Terengganu City Football Club (TCFC) belum pasti akan bermain di Liga Premier pada musim hadapan.

Ini berikutan TCFC menghadapi tunggakan gaji dan pampasan kontrak kepada enam orang pemain yang berjumlah RM283,000 seperti yang dimaklumkan oleh FAM pada selasa lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam memberikan penjelasan bahawa semua pasukan perlu mendapatkan lesen sebelum layak beraksi dalam saingan Liga Premier.

Oleh itu, kelab perlu mempunyai kewangan yang kukuh dan bebas daripada isu tunggakan gaji untuk layak memperoleh lesen demikian. Dan keputusan tersebut hanya akan ditentukan oleh FAM.

“Saya percaya FAM akan membuat keputusan yang paling tepat terutama dalam menilai sama ada sesebuah pasukan itu mampu atau tidak dari aspek kewangan untuk bersaing dalam Liga Perdana,” kata Kevin.

“Sudah tentu semua pasukan diwajibkan (mendapatkan lesen kelab), seperti yang saya katakan sebelum ini ia akan menukar wajah bola sepak kita untuk masa akan datang.”

“Pelesenan kelab bukan satu perkara yang boleh diambil ringan dan boleh di capai semua pasukan, memang akan ada pasukan berdepan masalah. Tapi apakan daya ini yang kita perlu lakukan untuk memastikan kestabilan Liga M.”