Kajian & Analisis Malaysia

Kenali revolusi kejurulatihan yang sedang berlaku di Malaysia

Anda telah mendengar perbincangan ini acap kali. Bagaimanakah anda mahu meningkatkan bola sepak Malaysia? Bergantung kepada siapa anda bercakap, dan juga pemegang taruh mana yang mereka sertai, anda akan mendapat jawapan yang berbeza daripada satu sama lain. Melabur di dalam liga? Menggalakkan program akar umbi? Mengenepikan persatuan berasaskan negeri? Kepentingan pendidikan sukan peringkat persekolahan?

Secara kasarnya, jawapan yang dikemukakan tersebut membawa maksud tersendiri. Namun asasnya, anda perlu bermula dengan kejurulatihan itu sendiri. Fikirkan jika anda menguruskan kilang. Terdapat banyak masalah yang memberi kesan kepada jualan dan penghasilan, tetapi kita hanya membaiki corak bungkusan sahaja, berbanding kita kembali kepada asasnya iaitu melakukan kalibrasi mesin dan memastikan ianya bekerja dengan kaspasiti penuh.

Bertahun-tahun juga kita sering bertanya kepada diri sendiri – apakah sebenarnya identiti bola sepak Malaysia? Apakah corak permainan kita? Apakah sifat yang sering dikaitkan dengan pemain daripada sistem kita? Brazil mempunyai Samba. Jerman pula adalah mengenai ketepatan. England mempunyai kekuatan fizikal. Sepanyol dengan tiki-takanya. Itali pula pragmatik. Bagaimana pula dengan kita?

DNA Malaysia

Setelah berdekad dengan hanya berbincang dan bercakap tentangnya, satu pelan yang sewajarnya akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Peter De Roo, yang dilantik sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tahun lalu, telah merangka satu perancangan yang jelas untuk mengadakan DNA bola sepak Malaysia, setelah berbincang dengan mendalam bersama-sama pelbagai pemegang taruh, termasuk DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.

Pelan tersebut berjaya dihasilkan setelah melakukan kajian selama beberapa bulan bersama David Abela, Ketua Pendidikan Jurulatih FAM. Kedua-dua mereka telah mengambil masa yang khusus untuk memahami bola sepak Malaysia, pemegang taruh, cabaran yang dihadapi sebelum melontarkan idea-idea untuk membina generasi pemain bola sepak Malaysia masa hadapan.

Antara langkah awal yang mereka cadangkan adalah untuk menghasilkan jurulatih bola sepak moden generasi masa hadapan disamping memberikan pengetahuan baharu kepada jurulatih sedia ada dalam piramid bola sepak Malaysia. Bola sepak moden disini bukanlah bermaksud bola sepak seperti yang dimainkan oleh Pep Guardiola. Ataupun memfokuskan pendekatan pragmatik Jose Mourinho.

Bola sepak moden disini, seperti yang dititik beratkan oleh David Abela adalah memberikan pemain kebolehan untuk membuat keputusan di atas padang. Nampak mudah? Kami telah bertanyakan kepada bekas pemain kebangsaan, Stanley Samuel, yang baru sahaja mengambil Lesen Kejurulatihan ‘B’ AFC, dibawah pendekatan yang baharu, untuk mendapatkan pencerahan.

“Secara asasnya DNA baharu memberikan fokus kepada membuat keputusan dan penglibatan awal? Apa yang saya maksudkan? Berapa ramai pemain-pemain yang mampu mengambil keputusan di atas padang? Adakah pemain kita dibenarkan untuk muncul sebagai individu di atas padang? Berdasarkan pengalaman saya yang dibesarkan dalam sistem piramid bola sepak Malaysia, kami hanya diajar untuk mengikuti arahan di atas padang.” kata Stan kepada Football Tribe.

“Saya tak kata itu salah, ataupun menyalahkan jurulatih saya. Itulah falsafahnya pada waktu itu. Bola sepak telah berkembang dan sekarang sedang mengalam transformasi. Kini, anda perlu melakukan keputusan besar di atas padang. Pemain bukan sahaja perlu mahir, mereka perlu mempunyai kefahaman yang hakiki tentang permainan, ruang di dalam padang, dan juga menggunakan sumber secara optimum. Kesemua keputusan ini perlu dilakukan secara ‘on the spot’, dengan arahan yang minimum daripada jurulatih.

Memperbaharui konsep kejurulatihan

Pengubahsuaian kejurulatihan sedang dilakukan di Malaysia, dengan meletakkan fokus kepada memupuk pemain bola sepak bukan sahaja perlu bagus malahan perlu bijak. Jurulatih-jurulatih dengan reputasi di Malaysia juga mengambil inisiatif untuk datang dan belajar falsafah baharu. Walaupun objektifnya untuk mengadakan satu DNA bola sepak Malaysia, Peter De Roo menyatakan bahawa negara yang bola sepaknya maju menggunakan pelan teras kejurulatihan yang memfokuskan beberapa aspek:

Pertama sekali, latihan perlu berdasarkan umur dan memerlukan kita mengadakan satu suasana pembelajaran yang seronok. Perkembangan pemain muda berbeza di setiap peringkat. Oleh itu, jurulatih perlu berwaspada dengan pembelajaran yang boleh diberikan kepada pemain muda pada sesuatu peringkat umur.

Kemudian barulah dicorakkan keadaan sebenar daripada awal umur. Ianya perkara teknikal, tetapi Stan berjaya menjelaskannya ketika temubual bersama kami. “Dalam satu sesi latihan, anda sedang berlatih 5 lawan 5 dalam satu kawasan padang. Idea untuk membina keserasian berpaksikan kepada mengadakan latihan di kawasan khusus dalam padang. Jadi 5 lawan 5 perlu dilakukan dalam kawasan luar kotak penalti, supaya pemain pertahanan dapat menggambarkan situasi menerima bola daripada penjaga gol dalam kotak penalti, kemudiannya cuba memainkannya. Budak yang sering melakukannya sepanjang 7-8 tahun daripada awal umur, dalam padang, akan kurang menghadapi masalah apabila terdapat tekanan dalam permainan sebenar, dan ketika dia menjadi pemain profesional” jelas Stan.

Tanggapan pertama yang kami perolehi diatas sudut perbezaan pelan ini adalah ia bukan sekadar memerlukan perubahan besar dalam bagaimana kita melihat kejurulatihan dan pendidikan akar umbi, tetapi ia juga melibatkan perubahan pendekatan yang digunakan selama berdekad dalam negara ini.

Projek jangka masa panjang

Seperti mana pelan lain, ia juga memakan masa. Sangat mudah untuk hilang fokus dan hilang semangat dalam masa tersebut. Halangan untuk berubah juga merupakan masalah besar dalam proses ini. Hakikatnya, pelan ini dibuat selepas memahami dan menganalisis konteks bola sepak tempatan, dan ianya sangat menggalakkan.

Peter De Roo dan David Abela telah memainkan peranan besar dalam melakukan perkara yang sama untuk Australia suatu masa dahulu, dan Socceroos telah menuai hasil melalui usaha mereka apabila menampilkan aksi yang terpuji dalam saingan Piala Dunia 2014. Duo ini bersedia untuk menggegarkan Malaysia dan lebih banyak perincian akan diumumkan oleh FAM dan Peter De Roo sendiri dalam masa terdekat. Disamping kejayaan Harimau Muda pada pentas Sukan Asia lalu, terdapat banyak sebab untuk menaruh harapan untuk masa depan bola sepak Malaysia.