Malaysia Berita

Farizal Marlias: Jangan lakukan kesilapan yang sama

Skuad kebangsaan telah tiba di Phnom Penh semalam untuk satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa “A” yang akan berlangsung pada esok, 10 September.

Terdahulu, Harimau Malaya mencatatkan kekalahan 2-0 ketika menentang Taiwan pada jumaat lalu dan alasan padang becak akibat hujan lebat sebelum perlawanan mungkin boleh diterima.

Bagi penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias, pertemuan menentang Taiwan lalu sememangnya mereka mempamerkan aksi yang tidak memberangsangkan namun mereka tetap cuba untuk tampil dengan aksi positif.

“Kami bermain kurang baik dan melakukan kesilapan mudah tetapi positifnya, pemain-pemain cuba bermain hantaran pendek dan tidak cepat hilang bola walaupun keadaan padang yang kurang baik,”

Oleh itu, pertemuan seterusnya menentang Taiwan, Farizal berharap para pemain harus fokus dan tidak lalai supaya dapat menutup peluang buat mereka menjaringkan gol.

“Bertemu Kemboja, kami harus mengurangkan kesilapan dan tidak memberi ruang kepada mereka kerana sedikit kelalaian akan memberikan mereka peluang menjaringkan gol.”

Ketika aksi jumaat lalu, Farizal yang kembali menyarung jersi kebangsaan sejak kali terakhir melakukan demikian pada tahun 2015 bolos pada minit ke-13 dan minit ke-53 menerusi jaringan Wu Chun Ching dan Chu En-Lee.

Beliau turut melahirkan kehampaan kerana aksinya yang lalu namun akan berusaha untuk meningkatkan prestasinya untuk perlawanan akan datang.

“Sudah pasti ini bukan keputusan yang saya harapkan. Saya perlu bekerja keras lagi selepas ini untuk mempertingkatkan lagi prestasi saya,” katanya.

Bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan kali ini, pengendali skuad senior, Tan Cheng Hoe telah memanggil tiga penjaga gol iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Hafizul Hakim selain daripada Farizal Marlias.

Bagi perlawanan menentang Kemboja esok, Cheng Hoe berkemungkinan akan menurunkan salah seorang daripada dua pemain tersebut untuk menguji persembahan mereka.

Harimau Malaya perlu mencatatkan kemenangan ke atas Kemboja untuk membangkitkan keyakinan pemain dan juga untuk memperbaiki kedudukan ranking 171 dunia ketika ini.

Kejohanan Piala AFF 2018 pada penghujung tahun ini juga menyaksikan Kemboja diundi bersama-sama Malaysia dalam Kumpulan A. Dan mereka merupakan lawan Malaysia yang pertama di kejohanan tersebut pada 11 November kelak.