Malaysia Berita

Kisah Hairuddin Omar ketika berdepan penyokong Indonesia

Penolong jurulatih skuad B-19 negara, Hairuddin Omar menceritakan semula detik cemas yang dilalui barisan pemain dan kejurulatihan di hadapan ribuan penyokong Indonesia baru-baru ini.

Katanya, ketika nyanyian Negaraku berkumandang, segelintir penyokong tidak sedikit pun menunjukkan rasa hormat malah sengaja membuat bunyi bising.

“Antara insiden yang berlaku di tempat duduk simpanan pemain dalam tempoh 10 minit awal permainan, ada batu sebesar tapak tangan bayi tiba-tiba jatuh di depan kami.

“Ini perkara yang pelik, bagaimana batu sebesar itu boleh sampai ke bangku simpanan kami.

“Barisan kejurulatihan berbincang, jika sekali lagi batu dibaling, kami akan mengadu kepada pegawai perlawanan ataupun meminta perlawanan supaya dihentikan, malah kami mungkin menarik diri.

“Ada satu sudut di mana penyokong nampak seperti mahu menyerbu ke dalam padang.

“Saya lihat ada pagar yang sudah runtuh dan saya bercakap kepada barisan kejurulatihan, menang atau kalah, kita perlu bersiap-sedia segera masuk ke dalam bilik persalinan.

“Kita tidak tahu apa yang bermain di fikiran penyokong. Kalau mereka kalah, kemarahan mereka mungkin akan lagi tinggi. Kalau menang pula, semangat untuk meraikan kemenangan akan mengatasi kewarasan mereka,” katanya kepada Stadium Astro.

Kisah Hairuddin menunjukkan sikap segelintir penyokong tuan rumah yang ternyata sukar menerima kekalahan skuad B-19 Indonesia kepada Malaysia dalam Kejohanan Piala AFF B-19 menerusi penentuan sepakan penalti.

Bagi penjaga gol negara, Azri Abdul Ghani insiden tersebut pasti tidak boleh dilupakannya.

“Ini kali pertama saya berdepan provokasi sebegini oleh penyokong dan dibaling botol.

“Ini pengalaman pertama kami dan inilah layanan yang kami terima ketika bertandang di stadium mereka,” katanya.

Ketua pasukan B-19, Syaiful Alias pula seolah-olah tidak percaya apa yang dilaluinya.

“Kami diarah berkumpul di tengah padang, pegawai keselamatan berkawal melindungi kami daripada dibaling batu dan botol.

“Saya tidak pernah menempuhi pengalaman seperti ini,” katanya.