Luar Negara Piala Dunia 2018

99.3 peratus keputusan VAR adalah tepat, kata FIFA

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan bahawa sebanyak 99.3 peratus keputusan pengadil bantuan video (VAR) ke atas 335 insiden sepanjang aksi peringkat kumpulan Piala Dunia adalah tepat.

Dengan 48 aksi di peringkat kumpulan, statistik setakat ini menunjukkan purata sebanyak tujuh insiden berlaku dalam setiap perlawanan Piala Dunia.

Sementara itu, sebanyak 14 insiden yang pada awalnya keputusan yang dibuat adalah daripada pengadil dan diberikan kebenaran untuk penilaian semula di tengah padang dengan pengadil menilai semula insiden menggunakan monitor di tepi padang manakala tiga keputusan pengadil diambil berdasarkan penilaian secara terus daripada VAR.

Namun, jelas pengerusi jawatankuasa pengadil FIFA, Pierluigi Collina, daripada semua insiden yang berlaku dalam perlawanan, sebanyak 95 peratus daripada keputusan awal yang dibuat oleh pengadil adalah tepat meskipun tanpa campur tangan VAR.

Dengan bantuan VAR, kadar itu meningkat kepada 99.3 peratus.

“Sebanyak 335 insiden disemak oleh pasukan VAR. Semua 122 gol yang dijaringkan disemak oleh VAR termasuk semua insiden yang berlaku di tengah padang.

“Daripada 335 semakan yang dilakukan, kami melakukan 17 penilaian semula menggunakan VAR. Sebanyak 14 keputusan diubah menerusi penggunaan sistem ini,” katanya.

VAR yang digunakan buat pertama kali dalam sejarah Piala Dunia mendapat pelbagai kritikan negatif kerana kebanyakan penyokong, para pemain dan media tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat dalam beberapa perlawanan.

“VAR tidaklah sempurna. Masih ada tafsiran yang salah dan juga kesilapan dilakukan, jadi kami tidak boleh mencapai kesempurnaan meskipun ada VAR,” kata Collina. – AFP