Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak bercadang untuk menukar penggunaan peraturan fair play sebagai salah satu cara untuk layak ke pusingan kalah mati dalam Piala Dunia.
Penggunaan kriteria itu menimbulkan kontroversi apabila Senegal menjadi korban pertama apabila wakil benua Afrika itu turut meraih mata serta perbezaan jumlah gol dan bolos yang sama dengan Jepun namun wakil Asia itu layak ke pusingan seterusnya berdasarkan jumlah kad kuning yang dikutip.
Malah, Jepun yang tewas 1-0 kepada Poland juga dilihat sengaja melambat-lambatkan permainan, malah corak permainan yang ditampilkan kedua-dua pasukan turut diejek penonton ketika itu.
Situasi itu sama seperti apa yang berlaku pada Piala Dunia 1982 membabitkan perlawanan Jerman Barat dan Austria yang menyaksikan kedua-dua pasukan berpakat dengan kemenangan berpihak kepada Jerman Barat 1-0 sekali gus kedua-dua pasukan layak.
Bagaimanapun, Ketua Pertandingan FIFA, Colin Smith memberi jaminan bahawa FIFA akan memastikan situasi seperti itu tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang.
“Ini kali pertama peraturan fair play diguna pakai di Piala Dunia. Jelas sekali apa yang kita mahu adalah mengelak daripada lebih banyak cabutan undian untuk menentukan siapa yang layak.
“Kami percaya setiap pasukan harus menumpukan kepada prestasi dan apa yang berlaku di atas padang.
“Kriteria ini diperkenalkan hanyalah bagi menyediakan satu lagi kriteria sebelum memutuskan pasukan mana yang layak ke pusingan seterusnya menerusi proses cabutan undi,” katanya.
Jelas Smith lagi, FIFA juga akan menilai kriteria peraturan fair play sebaik sahaja Piala Dunia melabuhkan tirai sama ada ia boleh terus digunakan untuk edisi akan datang.
“Kami akan menilainya selepas Piala Dunia,” kata Smith.
“Kami akan melihat bagaimana reaksi balas terhadapnya, tetapi buat masa sekarang, kami tidak rasa perlunya perubahan kepada peraturan itu.” -AFP