Kajian & Analisis Piala Dunia 2018

Analisis: Cheryshev bantu Rusia ayamkan Arab Saudi, Golovin curi tumpuan ramai

Rusia berjaya membuka tirai Piala Dunia 2018 dengan nada yang cukup positif selepas kemenangan 5-0 ke atas Arab Saudi di Stadium Luzhniki malam tadi.

Dua jaringan daripada Denis Cheryshev, dan tiga lagi gol daripada Artem Dzyuba, Aleksandr Golovin, dan Yuri Gazinsky membantu skuad Beruang Merah meraih tiga mata penting di hadapan ribuan penyokong Rusia.

Berikut adalah beberapa perkara yang kami perhatikan dalam perlawanan tersebut:

ARAB SAUDI DIAYAMKAN DENGAN MUDAH

Persembahan yang ditunjukkan Arab Saudi malam ini cukup memalukan, terutamanya buat sebuah negara yang banyak melabur demi meningkatkan kualiti bolasepak mereka. Namun, mereka diayamkan dengan mudah oleh skuad Rusia di Stadium Luzhniki malam ini. Tiada sebarang unsur kreativiti, dan squad Green Falcons juga gagal menampilkan sebarang intensiti dalam corak permainan mereka. Biarpun mendominasi kawalan bola, dan lebih banyak melakukan hantaran, Al Sahlawi sering tampak keseorangan di bahagian serangan.

ALEKSANDR GOLOVIN PERLU TERUS DIBERI PERHATIAN

Denis Cheryshev menjaringkan dua gol malam ini, namun individu yang mencuri tumpuan adalah Aleksandr Golovin. Pemain sayap Rusia itu cukup rajin melakukan larian, dan banyak membuat cubaan gelecekan, terutama dalam 20 minit terakhir, apabila Arab Saudi bermain dengan 'defensive line' yang lebih rendah. Berjaya menjaringkan gol kelima Rusia dengan sepakan percuma yang cukup cantik!

OSAMA DAN OMAR GAGAL TUNJUK KESEFAHAMAN

Antara titik kelemahan dalam skuad Arab Saudi malam ini adalah gandingan di antara Osama Hawsawi dan Osama Hawsawi. Kesefahaman di antara kedua-dua pemain nampak masih lemah, dan ini memberi peluang kepada pemain-pemain seperti Cheryshev, dan Golovin untuk mencari ruang dengan mudah. Jika Arab Saudi mahu bangkit ketika menentang Uruguay enam hari dari sekarang. Omar dan Osama perlu mencari jalan untuk memperbaiki kesefahaman.

RUSIA MAMPU MENCIPTA KEJUTAN

Walaupun diperlekehkan orang ramai, skuad Rusia hari ini tampil menunjukkan kebolehan mereka di atas padang. Faktor beraksi sebagai pasukan tuan rumah mungkin sedikit sebanyak membantu momentum mereka di atas padang, namun aksi yang ditunjukkan oleh kebanyakkan pemain wajar diberi pujian. Jika Rusia mampu mengekalkan momentum ini, mereka mungkin berpeluang cipta kejutan tahun ini. Jangan lupa kisah Greece di pentas Euro 2004!

DZYUBA BERI 'DIMENSION' BERBEZA

Jika Dzagoev dan Cheryshev lebih kepada penyerang yang fleksibel dari segi pergerakan mereka, Artem Dzyuba menawarkan pilihan dan dimensi yang berbeza. Beliau merupakan seorang penyerang yang berbadan tegap dan mampu menggunakan kekuatan fizikal untuk menewaskan pertahanan lawan. Walaupun perkara ini membantu Rusia menjaringkan gl keempat mereka, Dzyuba juga mungkin dapat membantu Rusia menukarkan taktik mereka di atas padang, apabila berdepan dengan pasukan-pasukan yang lebih besar.