
Sebanyak 15 pasang kasut but bola sepak baharu dihadiahkan kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lemoi sebagai sokongan kepada pembangunan sukan bola sepak dalam komuniti Orang Asli.
SK Lemoi, sebuah sekolah luar bandar yang menempatkan anak Orang Asli di Cameron Highlands, Pahang mempunyai pasukan bola sepak, dikenali sebagai The Botaks.
Mereka turut menerima barangan dan peralatan bola sepak yang digunakan Manchester United pada perlawanan menentang ASEAN All-Stars ketika di Stadium Nasional Bukit Jalil, bulan lalu.
“Kami percaya sukan mampu menjadi pemangkin perubahan dalam kehidupan,” kata CEO ShekhinahPR, Christopher Raj.
“Melalui sumbangan ini, kami berharap ia dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada anak-anak Orang Asli untuk terus aktif dan bersemangat dalam bidang sukan, khususnya bola sepak.
“Melihat wajah gembira mereka menerima but bola sepak dan barangan yang pernah digunakan Manchester United menentang ASEAN All-Stars, ia benar-benar menyentuh hati kami.
“Ini bukan sekadar sumbangan, kami mahu mereka rasa dihargai dan menjadi sebahagian daripada komuniti bola sepak global.”