
“Ia bukan sekadar tentang penyertaan. Ia sentiasa tentang penguasaan dan peningkatan sejak dari awal lagi,” kata pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Satu persoalan, dengan segala propaganda dan kempen yang mereka buat selama ini, apakah perubahan dan perbezaan yang mereka telah capai? Kosong! Sedangkan kami terus berkembang, bertambah baik dan meningkat ke tahap yang lebih tinggi setiap tahun.
Lucu apabila segelintir ‘pesaing’ kami sering merungut dan mengadu kononnya mereka tidak dapat bersaing dengan kami, sehingga menghasut bahawa semua pasukan patut tarik diri dan kononnya liga ini sudah mati.
Kita tidak lihat mentaliti sebegini dalam liga-liga lain walaupun ada pasukan yang jauh lebih mendominasi berbanding kelab lain.
Ini memalukan dan negara jiran seperti Thailand serta Indonesia juga nampak jelas mentaliti bola sepak di Malaysia, jika tak mampu bersaing, lebih baik tarik diri.
Sepatutnya kita mendesak pasukan-pasukan kita untuk bangkit, lebih profesional dan bersaing dengan kemampuan mereka.
JDT juga tidak akan mampu bersaing di pentas Asia jika kita memiliki mentaliti seperti itu, kerana bajet kita jauh lebih rendah berbanding banyak pasukan lain, termasuk dari Asia Timur namun kita masih mampu menamatkan saingan di tempat ketiga daripada 12 pasukan pada musim ini.
Peminat bola sepak Malaysia sepatutnya berbangga kerana JDT mewakili Malaysia dan mempunyai kedudukan yang baik di peringkat Asia. Mengikut Opta Power Rankings, kami kini berada di tempat ke-10 di Asia.
Mentaliti bola sepak di negara ini sedang mundur ke belakang, bukan kerana mereka inginkan apa yang anda ada, mereka cuma tidak mahu kita memilikinya.”
TUNKU MAHKOTA ISMAIL
Pemangku Sultan Johor