Liga Super Malaysia Berita

Perak mahu tubuh akademi dalam tempoh 3 tahun akan datang

Perak berhasrat menubuhkan akademi bola sepak dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi mencungkil bakat muda untuk pembangunan sukan di negeri itu.

Penubuhan akademi itu juga bermatlamat mengasah bakat muda yang berpotensi diketengahkan sebagai pemain bola sepak di peringkat kebangsaan.

“Namun, ia bukan satu perkara mudah dan memerlukan perancangan rapi,” kata Pengarah Pembangunan Belia Perak, Neow Choo Seong kepada Bernama.

“Khususnya melibatkan kos kewangan bagi pembangunan fasiliti yang mencapai standard sepertimana akademi bola sepak lain.”

Katanya, pihaknya amat berharap kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri serta badan swasta membantu khususnya dari sudut kewangan bagi tujuan pembinaan akademi tersebut.

“Kita perlukan sokongan daripada semua pihak ini kerana ia melibatkan banyak aspek termasuk peruntukan kewangan yang agak tinggi bagi melancarkan sukatan pelajaran serta program yang dijalankan.

“Bantuan ini juga diperlukan kerana kami tidak mampu menyediakan semua kemudahan itu bersendirian.”