Kim Pan-gon mengakui Malaysia berdepan laluan sukar dalam Piala Asia 2023.
Ini selepas skuad negara berdepan dengan Korea Selatan yang baru sahaja beraksi di Piala Dunia Qatar tahun lalu.
Dua lagi pasukan merupakan Jordan dan Bahrain yang masing-masing berada pada kedudukan ke-84 dan 85 dalam ranking FIFA.
“Kumpulan yang sukar, ada dua pasukan dari Timur Tengah,” luah Pan-gon selepas menghadiri majlis undian yang berlangsung di Doha, Qatar.
“Korea Selatan pula antara pasukan terbaik di dunia,” akui beliau terhadap negara kelahirannya.
Namun, beliau menyeru pemainnya supaya menyahut cabaran Piala Asia 2023.
“Kita akan cuba untuk bersaing dengan mereka dan membanggakan rakyat Malaysia.”
Malaysia akan berdepan Jordan dalam perlawanan pembukaan pada 15 Januari, diikuti Bahrain pada 20 Januari dan Korea Selatan pada 25 Januari.