Liga Super Malaysia Berita

BubblesO2 rakan penaja terbaru Liga Malaysia 2023

BubblesO2 muncul rakan penaja baharu Malaysian Football League (MFL) bagi saingan Liga Malaysia 2023.

Syarikat air mineral beroksigen semula jadi pertama di Malaysia itu menandatangani kontrak perjanjian selama setahun hari ini.

BubblesO2 pernah menjadi penaja pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing untuk Kejohanan CubPrix Kebangsaan (2018-2020), Sukan Malaysia (SUKMA 2022) bagi pasukan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Pasukan Baseball Kebangsaan (2022) serta Kejohanan Silat Dunia 2022 dan Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) sebagai minuman rasmi bagi sukan permotoran negara bagi musim 2023.

“Walaupun ini kali pertama kami membabitkan diri dalam sukan bola sepak, BubblesO2 positif dengan pengalaman yang ada dapat memberikan kelebihan dan manfaat kepada semua terutamanya kepada barisan pemain Liga Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif BubblesO2 Sdn Bhd, Ain Azizah Arifin.

“Ini kerana kita tahu dengan perlawanan yang semakin bertambah musim ini, sudah tentu tahap kecergasan pemain menjadi keutamaan dan kami di BubblesO2 hadir sebagai salah satu fungsi air mineral yang berkualiti untuk membantu mereka sepanjang musim ini.”

BubblesO2 dijangka akan digunakan oleh semua pasukan Liga Malaysia dalam setiap perlawanan.

“Saya mewakili Ahli Lembaga Pengarah, Rakan Kongsi Liga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada BubblesO2 atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan mereka untuk saingan Liga Malaysia musim ini,” kata Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.

“Sudah tentu, produk BubblesO2 amat bersesuaian dengan sukan bola sepak di mana kelebihan dan khasiat yang ada pada air minuman BubblesO2 bakal membantu aksi pemain di atas padang.

“Justeru saya percaya kolaborasi ini akan memberikan manfaat kepada semua pihak di mana dengan liputan meluas Liga Malaysia di negara ini bakal mengukuhkan lagi jenama BubblesO2.”

Produk BubblesO2 kini boleh didapati di lebih daripada 1000 rangkaian 7-Eleven, 700 buah Kedai Mesra Petronas di semenanjung Malaysia, 21 cawangan AeonBIG Hypermarket, 43 buah outlet AeonMall Store, rangkaian EMart 24 serta 24 Express Mart.

Untuk kemudahan pengembara dan seumpamanya; BubblesO2 juga berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA dan KLIA2), 80 buah kedai serbaneka dan farmasi di Hospital-hospital awam dan swasta di ibu negara dan lembah klang serta di kawasan R&R di sepanjang lebuhraya PLUS.

“Kami di MFL amat mengalu-alukan kehadiran BubblesO2 untuk bersama-sama menambah kerancakan saingan liga musim ini yang berwajah baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam.

“Perubahan ini perlukan sokongan semua pihak bukan hanya pasukan dan penyokong malah rakan-rakan penaja seperti BubblesO2 yang bersama-sama menyahut cabaran demi memartabatkan bola sepak tempatan khususnya Liga Malaysia.”