Jurulatih Negeri Sembilan, K Devan mengakui bangga dengan prestasi penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi dan pertahanan, Ahmad Khuzaimi Piee ketika beraksi dengan skuad kebangsaan dalam kejohanan Piala Raja Thailand 2022.
Syihan menampilkan prestasi memberangsangkan apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti ketika Malaysia menewaskan tuan rumah Thailand, manakala Khuzaimi cemerlang membantu skuad negara daripada dibolosi sebarang gol ketika seri 0-0 dengan Tajikistan.
“Saya bersama pihak pengurusan sememangnya berbangga,” katanya kepada Harian Metro.
“Negeri Sembilan berjaya membentuk dua pemain yang boleh mewakili pasukan negara dan ini sesuatu yang baik untuk masa depan mereka.
“Semasa mereka hadir ke sini, mereka belum lagi berstatus pemain kebangsaan tetapi atas kecemerlangan semasa menyarung jersi Negeri Sembilan, mereka terpilih.
“Malah mereka berdua tampil dengan prestasi terbaik di peringkat antarabangsa dan ini sesuatu yang positif kerana secara tidak langsung membawa nama baik kepada Negeri Sembilan yang membantu mereka sampai ke tahap ini.”
Syihan mencatatkan 6 perlawanan tanpa bolos sepanjang beraksi dalam Liga Super musim ini manakala Khuzaimi menjadi pemain paling banyak dilayangkan kad kuning dalam liga dengan 6 kad kuning.
Negeri Sembilan yang berada di tangga ke-3 liga dengan meraih 35 mata daripada 18 perlawanan akan bertemu JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 1 Oktober ini.
Skuad negara akan kembali beraksi dalam Piala AFF 2022 berlangsung Disember ini.