Malaysia Berita

Piala Raja Thailand: Brendan Gan kembali sertai Harimau Malaya, tiada nama Farizal Marlias

Jurulatih negara, Kim Pan-gon membuat kejutan apabila 22 daripada 25 pemain yang dipanggil untuk menjalani kem latihan pusat bagi menghadapi Piala Raja Thailand adalah di bawah umur 30 tahun.

Malah, hanya 3 pemain berusia lebih 30 tahun iaitu Brendan Gan (34), Darren Lok (32) dan La’Vere Corbin-Ong (31).

Ini diikuti Shahrul Saad (29), Khuzaimi Piee (29), Nazmi Faiz Mansor (28), Mohamadou Sumareh (28) dan Zhafri Yahya (28).

Sekurang-kurangnya 11 pemain berusia bawah 25 tahun yang meliputi 5 pemain berusia bawah 21 tahun iaitu Arif Aiman Hanapi (20), Mukhairi Ajmal (21), Rahadiazli Rahalim (21), Azam Azmi Murad (21) dan V Ruventhiran (21).

Pan-gon mengekalkan 17 daripada 23 pemain yang telah membawa skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 pada kempen kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jun lalu.

Brendan Gan buat pertama kali dipanggil menyertai skuad kebangsaan sejak disahkan menghidap kanser testis tahun lalu.

Bagaimanapun, penjaga gol negara, Farizal Marlias hanya diletakkan dalam senarai bersedia bersama 15 lagi pemain.

Selain Brendan, terdapat 7 pemain baharu dipanggil kali ini termasuk tiga pemain muda berusia 21 tahun dari skuad B-23 kebangsaan iaitu Rahadiazli, Azam Azmi dan Mukhairi, selain Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Sharul Nazeem Zulpakar, Zhafri Yahya dan Declan Lambert.

Kem latihan pusat skuad Harimau Malaya akan bermula Jumaat, 16 ke 19 September 2022 bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa pada kejohanan Piala Raja Thailand Ke-48 di Chiang Mai, Thailand pada 22 dan 25 September 2022.

Malaysia berdepan tuan rumah, Thailand bagi perlawanan pembukaan pada Khamis, 22 September 2022, jam 8.30 malam (9.30 malam waktu Malaysia) di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai.

Bagi perlawanan kedua pada Ahad, 25 September 2022, kedua-dua pasukan yang kalah perlawanan pertama akan beraksi perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat pada jam 5.30 petang (6.30 petang waktu Malaysia).

Dua pasukan yang menang perlawanan pertama akan bertemu di pada aksi final jam 8.30 malam (9.30 malam waktu Malaysia).

Senarai skuad Piala Raja Thailand

GK: Rahadiazli, Kalamullah, Syihan Hazmi

DF: Matthew Davies, Dion Cools, Shahrul Saad, Dominic Tan, Sharul Nazeem, Khuzaimi, Declan Lambert, Azam Azmi, Corbin-Ong

MF: Brendan, Azam Azih, Nazmi Faiz, Faisal Halim, Mukhairi, Zhafri Yahya, V Ruventhiran

FW: Arif Aiman, Safawi Rasid, Sumareh, Akhyar Rashid, Syafiq Ahmad, Darren Lok